Jumaat, 9 Oktober 2009

'Kuasa ketiga' gesa Ong, Dr Chua undur

Peletakan jawatan bagi selesai kemelut MCA

Oleh S Anand Kumar


KUALA LUMPUR: Kumpulan yang mendakwa sebagai 'kuasa ketiga' MCA dengan sokongan hampir 800 perwakilan mesyuarat agung luar biasa (EGM) mendesak Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek melepaskan jawatan masing-masing.

Jurucakapnya, Datuk Tan Kah Choun, berkata Ong dan Dr Chua perlu meletak jawatan bagi menyelamatkan MCA yang kini berhadapan dengan krisis kepemimpinan yang teruk.

Tan mendakwa, masyarakat Cina kini sudah tidak lagi menyokong Ong walaupun Menteri Pengangkutan itu seorang pemimpin yang lantang bersuara.

"Kami menghormati Dr Chua dan berharap demi kepentingan parti, bekas Menteri Kesihatan itu juga berundur daripada jawatan. Kami tidak mahu MCA berpecah selepas EGM ini.

"MCA sering dilanda krisis kepemimpinan dan wujud dua kumpulan. Kami tidak mahu parti ini terus dilanda kemelut, kita mahu kepemimpinan bersama.

"Kami tidak berpihak kepada mana-mana pemimpin. Saya amat berharap hampir 2,377 perwakilan parti yang bakal hadir pada EGM ini akan membuat keputusan rasional," katanya yang juga Ketua MCA Cawangan Rasa Jaya dan perwakilan EGM di sini, semalam.

EGM MCA yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini akan menentukan masa depan parti, termasuk kedudukan Ong sebagai pemimpin nombor satu MCA.

Tan mendakwa, sebelum mengadakan sidang media itu semalam beliau menemui serta menghubungi 13 bekas kepemimpinan MCA termasuk Tun Dr Ling Liong Sik, Tan Sri Lim Ah Lek, Tan Sri Ong Ka Ting dan Tan Sri Chan Kong Choy.

"Saya berbuat demikian untuk mendapatkan pandangan mereka. Empat pemimpin meminta saya menjadi jurucakap kepada 'kuasa ketiga' MCA. Saya tidak boleh mendedahkan siapa empat pemimpin itu tetapi mereka bekas pemimpin tertinggi parti ini," katanya.

Sementara itu, di GEORGETOWN, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia menyiasat jika berlaku gejala tidak sihat seperti rasuah pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA yang dijadualkan Sabtu ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata pihaknya menerima laporan gejala rasuah termasuk cuba meraih sokongan.

"Kita tidak masuk campur termasuk menubuhkan pasukan khas kerana ia bukan bidang kuasa SPRM untuk bertindak," katanya pada Program Gerak Mesra dan majlis Aidilfitri SPRM negeri, di sini, semalam.

Tiada ulasan: