Sabtu, 17 Oktober 2009

Kotakan janji jika mahu kekal jawatan - Najib

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pemimpin Umno menzahirkan perubahan dengan mengotakan janji kepada rakyat jika mahu terus berada pada kedudukan mereka sekarang.

"Saya pilih tajuk ucapan saya, menzahirkan perubahan maknanya, dia (pemimpin Umno) mesti berpijak di atas bumi yang nyata sehinggakan rakyat jelata boleh melihat bahawa Umno menampilkan imej yang baru, yang lebih mesra, lebih dekat dengan hati rakyat.

"Ini harapan saya dan mudah-mudahan ianya dapat menjadi kenyataan," katanya persidangan media pada akhir Perhimpunan Agung Umno 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Perdana Menteri berkata pemimpin Umno mesti berkhidmat dengan baik dan menunjukkan sifat kepimpinan yang baik jika mereka mahu mempertahankan kedudukan.

Ditanya tentang tanggapan sesetengah pihak bahawa Umno tidak serius dalam pindaan perlembagaan parti memandangkan tiada perbahasan pada perhimpunan agung khas semalam, Najib berkata: "Siapa kata Umno tak serius, sebab mood bagus.

"Bukan senang tau. Sebenarnya, rundingan telah dibuat berbulan-bulan, jawatankuasa pengurusan sudah bersidang beberapa kali nak meneliti cadangan yang didapati daripada semua bahagian."

Diminta mengulas penghargaan beliau kepada mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa ucapan penangguhannya, Najib berkata beliau menghargai janji bekas Presiden itu yang tidak mengkritik pentadbiran beliau.

Katanya, setiap pemimpin mempunyai stail masing-masing dalam mentadbir kerajaan serta menyuarakan pendapat.

Abdullah yang tidak hadir semasa perasmian perhimpunan agung parti itu semalam, muncul di Dewan Merdeka semasa ucapan penggulungan oleh Majlis Tertinggi dan duduk bersama perwakilan dari Kepala Batas.

Tiada ulasan: