Ahad, 18 Oktober 2009

Klinik percuma untuk anak yatim

Oleh NORAINI NORDIN


KUALA LUMPUR - Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor (gambar) yang memulakan perniagaan klinik sendiri hari ini berazam memberi rawatan percuma kepada kira-kira 500 anak yatim pelbagai kaum setiap tahun.

Kliniknya yang akan mula beroperasi Isnin ini terletak di pusat membeli-belah mewah Starhill, Bukit Bintang di sini.

Sheikh Muszaphar berkata, langkah tersebut merupakan misi amal beliau sebagai sumbangan peribadinya untuk negara dan rakyat Malaysia yang telah membantu mencapai impiannya menjadi angkasawan.

''Klinik ini menawarkan rawatan percuma kepada anak-anak yatim. Orang awam yang datang untuk mendapat rawatan di sini akan dikenakan bayaran sebagaimana klinik-klinik biasa yang lain.,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran kliniknya, Dr. Sheikh Muszaphar Clinic & Partners dan majlis jamuan raya di klinik itu di sini hari ini.

Klinik itu dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Turut hadir penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa serta anak-anak yatim dari rumah kebajikan Wilayah Persekutuan.

Sheikh Muszaphar berkata, buat permulaan, perkhidmatan rawatan percuma tersebut ditawarkan kepada anak-anak yatim yang menetap di tiga rumah kebajikan di Wilayah Persekutuan iaitu Rumah Anak- Anak Yatim dan Saudara Baru Shifa, Ti-Ratana Welfare Society dan Taman Pendidikan Anak-Anak Yatim Darul Kifayah.

Katanya, khidmat rawatan percuma itu akan diperluas lagi ke rumah-rumah kebajikan anak-anak yatim lain secara berperingkat terutama sekitar ibu kota.

Selain merawat pesakit di klinik, beliau juga akan mengunjungi rumah-rumah kebajikan anak yatim untuk membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sebulan sekali.

''Saya juga tidak akan menolak jika ada anak-anak yatim lain yang tinggal di luar rumah kebajikan mahu mendapat rawatan di sini. Bagaimanapun, ia terbuka kepada anak-anak yatim yang berusia 12 tahun ke bawah dari golongan tidak berkemampuan," katanya.

Beliau seterusnya berkata, klinik yang beroperasi setiap hari ini juga akan menyediakan perkhidmatan 'doktor bergerak' yang boleh merawat pesakit di rumah.

Bagaimanapun, menurut beliau, perkhidmatan itu disediakan untuk pesakit yang menetap di sekitar ibu kota sahaja.

Sementara itu, tinjauan Mingguan Malaysia hari ini mendapati klinik beliau mula dikunjungi orang ramai walaupun belum beroperasi sepenuhnya.

Selain meninjau persekitaran klinik yang menampilkan ruang dekor berkonsepkan angkasa lepas tersebut, pengunjung mengambil peluang bergambar dengan angkasawan berkenaan.

Turut dipamerkan dalam klinik tersebut ialah baju angkasawan, buku-buku dan barang-barang berkaitan dengan angkasa lepas.

Tiada ulasan: