Sabtu, 10 Oktober 2009

Klinik enggan terima isteri, suami terpaksa jadi bidan

UTUSAN ONLINE




SITI Norhayati Hambadley memangku anak bongsunya yang dilahirkan dalam
kereta sambil diperhatikan dua anaknya, Amal Maisara (tengah) dan
Mohd. Ridhuan di rumahnya di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU - Seorang suami hari ini mendakwa sebuah klinik swasta di sini, enggan menerima kelahiran anaknya sehingga menyebabkan isterinya terpaksa bersalin di dalam kereta.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu sekali gus memaksa Amrun Mamat, 58, menjadi bidan kepada isterinya, Siti Norhayati Hambadley, 29.

Turut menyaksikan detik-detik mencemaskan itu ialah tiga lagi anak mereka berusia dua hingga tujuh tahun.

Siti Norhayati berkata, semuanya bermula semasa dia berada di rumah di Jalan Panji Alam di sini, dan mengalami tanda-tanda hendak bersalin.

"Saya dapati air ketuban telah pecah lalu segera menghubungi suami dan kami bergegas ke klinik berdekatan.

"Sejurus tiba di klinik, saya dapati kepala bayi telah pun keluar. Suami kemudian cuba mendapatkan bantuan jururawat tetapi mereka enggan kerana tiada doktor.

"Setelah permintaan kami tak diterima, saya yang ketika itu berada di dalam kereta terpaksa bersalin dan suami saya sendiri menjadi bidan," katanya di sini hari ini.

Menurut ibu kepada lima anak itu, dia bersyukur kerana selamat melahirkan anaknya meskipun tanpa bantuan perubatan.

"Saya terpaksa pegang sendiri kepala bayi supaya dia tak cedera dan detik itu turut disaksikan tiga anak kami.

"Mujur suami pernah mendapatkan maklumat melalui laman perkongsian YouTube mengenai saat-saat kelahiran bayi," ujar beliau.

Siti Norhayati berkata, dia kesal dengan layanan jururawat klinik terbabit yang didakwanya masih enggan memberi pertolongan walaupun sesudah bayi seberat 3.1 kilogram itu selamat dilahirkan.

"Apabila suami beritahu anak saya dah lahir, mereka (jururawat) masih enggan rawat saya walaupun waktu itu dalam keadaan berlumuran darah," katanya.

Dalam keadaan lemah, katanya, dia terpaksa memangku anaknya yang masih bertali pusat itu sebelum ke sebuah hospital pakar berdekatan.

"Saya terus diberi rawatan dan bayi yang baru lahir juga diberi oksigen kerana lama terdedah tanpa dibersihkan," katanya yang trauma dengan kejadian tersebut.

Tiada ulasan: