Isnin, 12 Oktober 2009

Kita masih dalam ISA, Norlaila

Lim Hong Siang



"Dia (Mat Sah) bukan dibebaskan. Dia dicampakkan keluar dari kem Kamunting ke depan rumah saya," demikianlah luahan Norlaila Othman, isteri Mat Sah Mohd Satray, bekas tahanan ISA yang dilepaskan pada 15 September lalu.

"Dia belum bebas..., kalau bebas dia nak tengok kubur maknya pun tak dapat lagi... Kalau ikut peraturan, dia nak hantar anaknya ke sekolah di Gombak pun tak boleh. Kalau dia sakit, dia tak dapat ke General Hospital seperti HKL(Hospital Kuala Lumpur). Dia tak boleh pergi ke HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia), Cheras...," sambung Norlaila (gambar kiri), merujuk kepada sekatan yang dikenakan terhadap Mat Sah.

Mat Sah, walaupun dikeluarkan dari Kemta (Kem Tahanan Kamunting) sebelum Hari Raya Aidilfitri, terpaksa akur kepada beberapa syarat. Beliau hendaklah tinggal dalam kawasan Daerah Polis Ampang Jaya, Selangor; dan tidak boleh meninggalkan kawasan tersebut tanpa kebenaran bertulis Ketua Polis Negeri atau Wilayah Persekutuan yang berkenaan.

Malah, Mat Sah wajib melaporkan diri di balai polis setiap Isnin, dan berada di rumah dari jam 9 malam hingga 6 pagi, kecuali mendapat kebenaran polis. Dengan kata lain, Mat Sah hanya bebas bergerak di sekitar Ampang pada sebelah pagi, dan terkurung di rumah kediamannya pada sebelah malam.

Ini namanya lepas, tapi tak bebas. "Tak bebas" bukan hanya tertakluk kepada kebebasan bergerak, namun juga hak asasi yang termaktub dalam perlembagaan. Kementerian Dalam Negeri mengenakan sekatan dalam hitam putih, melarang beliau untuk berucap di khalayak ramai, berpersatuan, malah berpolitik. Hak asasi Mat Sah hanya seluas satu petak pada kertas undi.

Pada hakikatnya, Mat Sah masih berada dalam tahanan yang dilanjutkan (dua tahun) pada tahun Jun 2008. Arus manusia yang turun berdemonstrasi pada 1 Ogos, hanya mengeluarkan Mat Sah dari Kemta, ke satu kawasan bernama Ampang, yang berlangitkan bulan dan bintang pada sebelah malam.

"Kerajaan telah rosakkan suami saya!"

Namun, kuasa rakyat belum lagi mengeluarkan Mat Sah dan keluarganya dari Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ia bukan sekadar kekhuatiran Norlaila terhadap anaknya Suhaib, dan anak-anak Malaysia lain yang berkemungkinan menjadi mangsa selagi ISA tidak dimansuhkan, tetapi kesan ISA yang meresap dengan begitu mendalam di hati mereka, dalam kehidupan harian mereka.

"Saya rasa dia telah dibodohkan dalam tujuh tahun, bukan 'dipulihkan'...," secara terus terang Norlaila menceritakan apa yang terjadi ke atas suaminya, menyanggah hujah rasmi kerajaan bahawa Mat Sah telah "dipulihkan".

Pengasingan ketika dalam tahanan, peraturan-peraturan yang dikenakan ke atasnya telah membuatkan Mat Sah (gambar kanan) semakin mundur dari segi fikiran, malah menjadikannya seorang yang malas fikir.

"Saya kena pulihkan dia balik...," kata Norlaila. Ketika ditanya apakah perwatakan Mat Sah tujuh tahun yang lalu, orang yang paling rapat dengannya ini menjawab," Dia seorang yang sangat cheerful (ceria)..., seorang bapa yang mesra dengan kami. Otaknya memang kerja nak cari duit saje...dia buat OT (over time)...it was seven years ago(tujuh tahun yang lalu)!"

"We lost everything for seven years, including the job. (Kami kehilangan segala-galanya dalam tujuh tahun ini, termasuk pekerjaannya)". Norlaila bersambung, "Dia jadi lain daripada tujuh tahun yang lalu. Suis lampu pun dia tak tutup. (Kita)... kena ulang bila cakap kepadanya..."

Norlaila tidak dapat mengawal kemarahannya, mengimbas kembali bagaimana dia perlu membayar untuk "membaiki suaminya yang rosak" ketika dalam tahanan. Norlaila menanggung kos rawatan gigi dan kaki Mat Sah ketika dalam tahanan, sementara berbelanja untuk membelikan makanan yang lebih baik untuk suami dan tahanan yang lain apabila melawat Kemta.

"Kerajaan telah rosakkan suami saya, kerana simpannya terlalu lama, tanpa sebarang alasan, tanpa perbicaraan di mahkamah...," kata Norlaila, "...sedangkan kita hidup di bumi yang sama, Malaysia. Dan kita mempunyai pemimpin yang sama. Tapi kenapa kehidupannya berbeza, dan on top of everything, dia tak pernah dibicarakan? Kalau dia convict (disabitkan kesalahan), saya terimalah, kan? Tapi because he is not convict... Dia bukan banduan!"

"Jadi saya tak puas hatilah. Dan saya akan sumpah orang yang... SB-SB yang jahat, bekerja untuk menahan orang bawah ISA, membuatkan mereka ditahan bertahun-tahun, mereka cipta pelbagai alasan untuk menahan mereka dengan lebih lama... Bagi saya ini adalah orang-orang yang pengecut, yang langsung tidak menghormati perlembagaan Malaysia."

Berbeza dengan tahanan lain yang bersyukur kepada kerajaan setelah "dibebaskan", Norlaila memesan Mat Sah untuk hanya bersyukur kepada Tuhan, dan bukannya kepada kerajaan kerana kerajaan inilah yang menyusahkan keluarganya untuk tujuh tahun tanpa perbicaraan.

Dunia Mat Sah berubah

Penahanan Mat Sah mengubah segala-galanya. Norlaila berkata, "Dia macam seorang yang baru keluar dari gua. Dia tak tahu apa-apa... bila saya bawa dia berjalan, banyak benda baru, banyak bertanya..."

Norlaila berkongsi pengalaman hidup mereka dengan wartawan MerdekaReview, dalam satu wawancara. Di sebalik "cerita lucu" yang kadang-kala membuat wartawan, termasuk dirinya tergelak, namun tetap menyayat hati apabila direnung kembali.

Pernah sekali Norlaila membawa Mat Sah ke pasar, dikejutkan apabila Mat Sah menjerit "ikan" sambil menuding kepada ikan yang dijual di situ. Gelagatnya mencungkil minat Norlaila, sambil membelek ikan tersebut untuk melihat pada yang luar biasa. Rupa-rupanya Mat Sah tidak pernah melihat ikan yang sebesar itu dalam tujuh tahun tahanannya.

Malah, Mat Sah merasakan semua orang hendak melanggarnya apabila berjalan di pasar raya. Beliau yang diasingkan bersendirian untuk bertahun-tahun tidak selesa dengan orang ramai. Bahkan apabila pertama kali Mat Sah melangkah ke rumahnya selepas tujuh tahun, beliau merasakan rumahnya seolah-olah penuh dengan "semak-samun", wahal hanya sofa dan sedikit hiasan yang ada pada ruang tamunya.

Jelas, dunia Mat Sah telah berubah. Beliau sudah biasa dengan ikan yang kecil, ruang yang kekosongan. Malah, beliau gagal mengagak benda dalam bilangan yang besar. Apabila Norlaila membawanya ke KFC, membeli makanan untuk ahli keluarga yang menziarahinya, Mat Sah berdegil dengan berkata "cukuplah satu barrel", padahal makanan itu sememangnya tidak cukup.

Dunia Mat Sah semakin mengecil, kekosongan, malah tertinggal dari rentak zaman apabila berasa pelik dengan alat-alat teknologi canggih seperti telefon bimbit, smart-tag, komputer dan internet.

Hubungan keluarga...

Untuk tujuh tahun yang lalu, jarak antara Mat Sah dengan anak tunggalnya, Suhaib disarat penuh dengan kerinduan. Jarak ini belum dirapatkan walaupun Mat Sah telah kembali ke pangkuan anaknya.

Menurut Norlaila, Mat Sah menjadi serba salah apabila ingin menegur anaknya. Begitu juga apabila Suhaib ingin bercakap dengan ayahnya, Suhaib akan memandang ke Norlaila, sambil memuncungkan mulutnya ke arah Mat Sah, "cakap dengan tu... Suhaib nak pergi KL..."

"Terlalu lama mereka berpisah..., " Norlaila mengaku bahawa belum lagi kedua-dua bapa dan anak ini mesra semula setelah dipisahkan sekian lama. Norlaila sendiri berdepan dengan keadaan yang sama, apabila merasakan ada seorang lelaki asing berada di biliknya, pada malam pertama Norlaila balik dari Sabah untuk bertemu dengan Mat Sah di rumah.

Malah, Mat Sah yang agak kendur dalam pergerakannya dan pemikirannya, kadang-kala mencungkil kesangsian Suhaib. Suhaib pernah tanya kepada ibunya Norlaila, sambil melihat ke arah Mat Sah dan menuding ke arah otak dirinya, "dia tu, (mental) ok tak?"

Walau bagaimanapun, anak lelaki yang separuh umurnya hidup tanpa bapa, kini menampakkan keceriaan di wajah setelah Mat Sah dibebaskan, menurut pemerhatian Norlaila. Bagaimanapun, anak yang juga turun berdemonstrasi untuk menuntut pembebasan bapanya, cuba membaiki hubungan dengan ayahnya, apabila mengajak agar ayahnya menghantarnya untuk bermain di padang.

Wartawan dapat perhatikan keceriaan di wajah Mat Sah berbaur dengan kekesalan. Tujuh tahun Mat Sah dihalang untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah dan suami... hanya kerana ISA.

Tiada ulasan: