Khamis, 1 Oktober 2009

Kimma mahu sertai Barisan Nasional tanpa syarat

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Selepas lima kali permohonannya untuk menyertai Barisan Nasional (BN) tidak berhasil, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) hari ini sekali lagi membuat rayuan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden Kimma, Mohd. Fazil William Abdullah berkata, permohonan untuk menyertai BN kali ini dibuat tanpa sebarang syarat.

"Sudah 33 tahun kita merayu untuk menyertai BN kerana kita mahu berjuang bersama-sama BN. Kali ini kita benar-benar memohon kepada Perdana Menteri supaya mempertimbangkan permohonan Kimma.

"Kita juga tidak meletakkan sebarang syarat untuk menyertai BN," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kali terakhir Kimma yang ditubuhkan pada 1976 membuat rayuan untuk menyertai BN adalah pada 2005.

Mohd. Fazil William berkata, Kimma kini mempunyai keahlian seramai 80,000 orang manakala mereka yang berketurunan India Muslim di negara ini mencecah sehingga 800,000 orang.

"Sekiranya Kimma dapat menyertai BN, kita boleh menarik lebih ramai keahlian dan ia akan memberi faedah kepada parti untuk menjadi lebih mantap," ujarnya.

Katanya, sudah sampai masanya Kimma masuk ke dalam BN memandangkan selama ini kongres itu hanya mampu berjuang dan membantu BN di lingkungan luar parti sahaja.

Beliau berkata, golongan India Muslim di negara ini juga memerlukan satu saluran perjuangan yang kukuh bukan sahaja untuk mereka malah seluruh rakyat Malaysia.

"Kami sentiasa menyokong BN serta kepimpinan Perdana Menteri dan tidak akan pernah berhenti berbuat demikian. Kami cuma harap permintaan Kimma kali ini diberi pertimbangan sewajarnya.

"Kami merayu kepada BN jangan tengok kami seperti orang lain. Beri peluang kepada kami untuk berkhidmat bersama-sama," ujarnya.

Katanya, Kimma tidak pernah berhenti membantu BN dan akan turun membantu pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang nanti.

Tiada ulasan: