Isnin, 12 Oktober 2009

Khairy sedia disiasat, isytihar harta

SINAR HARIAN ONLINE


PORT DICKSON - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bersedia untuk disiasat dan mengisytiharkan harta miliknya bagi menyahut cabaran Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tidak gentar dengan permintaan itu, malah bersedia untuk disiasat. Saya berada di pihak benar, jangan nanti beliau (Anwar) sendiri yang enggan untuk berbuat demikian.

“Saya juga tidak mempunyai masalah untuk senaraikan harta, sekiranya kita pegang jawatan dalam kerajaan pun kita mesti berbuat demikian,” Katanya kepada media selepas melawat perkampungan UMNO Johor, semalam.

Khairy sebelum ini meminta polis menyiasat Anwar susulan kenyataan Nallakarupan yang mendakwa Anwar mempunyai pelbagai sumber kewangan seperti yang didedahkan Bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid pada tahun 1999.

Akhbar ini semalam menyiarkan kenyataan Anwar yang sedia disiasat berhubung dakwaan berkenaan tetapi dengan syarat siasatan turut dijalankan terhadap beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) yang memiliki ‘kekayaan melampau’

“Sila siasat, saya tidak takut, saya juga minta diwujudkan satu suruhanjaya bebas untuk menyiasat kesemua harta yang hilang secara bebas termasuklah siasatan terhadap diri Khairy (Jamaluddin) sendiri terutamanya," kata Anwar seperti dilaporkan.

Ahli Parlimen Rembau itu turut mempersoalkan tindakan Anwar yang tidak mahu mengambil sebarang tindakan terhadap Datuk S Nallakarupan walaupun pelbagai dakwaan dibuat oleh: bekas rakan karibnya itu.:

:Malah katanya, Nallakarupan juga mengaku menyerahkan RM60 juta kepada Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Anwar begitu lantang menuduh pemimpin dalam Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai tuduhan, dan mengambil tindakan mahkamah jika kita bercerita kisah dia tetapi apabila Nallakarupan berbuat demikian, tiada sebarang tindakan diambil.

“Ini menunjukkan Anwar bimbang akan rahsianya terbongkar jika tindakan diambil kerana semua orang tahu dia dengan Nallakarupan mempunyai hubungan yang baik pada suatu masa dahulu," katanya.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, Anwar kini berada dalam keadaan terdesak kerana cuba meraih sokongan rakyat terhadapnya dan rakyat kini sudah mengetahui siapa dirinya yang sebenarnya.

Beliau berkata, beliau akan membuat tindakan susulan bagi membentangkan kebenaran yang berlaku agar semua pihak terutama rakyat di negara ini tahu apa terjadi dan tidak terus dibohongi oleh Anwar.

Tiada ulasan: