Khamis, 1 Oktober 2009

Kes liwat Anwar Ibrahim

Saiful doa tiada lagi permohonan ‘mengarut’

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat bekas majikannya itu berharap tidak ada lagi permohonan ‘mengarut’ daripada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan.

Mohd. Saiful dalam entri terbaru di blognya http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com. mengharapkan perbicaraan kes liwat membabitkan mereka dapat diteruskan dan tidak lagi tertangguh seperti sebelum ini.

“Menjelang 3 November ini, mohon doakan agar tiada lagi penangguhan perbicaraan.

“Saya juga harap tiada lagi permohonan-permohonan mengarut daripada pihak tertuduh. Cukuplah selama ini VVIP didahulukan,” katanya di dalam blog itu.

Mohd. Saiful melalui blognya sebelum ini pernah mempersoalkan layanan yang diberikan terhadap bekas majikannya itu sehingga perbicaraan sebenar masih tidak dapat berlangsung sehingga kini.

Menurutnya, Anwar diberi terlalu banyak ruang mengemukakan permohonan demi permohonan termasuk yang tidak berasas hingga timbul persoalan sama ada layanan yang sama akan diberikan jika ia dilakukan oleh rakyat biasa.

Perbicaraan kes liwat itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Jenayah) di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 3 November ini.

Dalam pada itu, Mohd. Saiful berkata, beliau perlu sentiasa berwaspada mengenai keselamatan dirinya.

BERITA BERKAITAN:

Bapa harap perbicaraan disegerakan

KUALA LUMPUR – Bapa kepada Mohd. Saiful Bukhari, Azlan Mohd. Lazim meluahkan harapan supaya tarikh perbicaraan kes liwat melibatkan anaknya dapat ditetapkan segera setelah tertangguh sekian lama berikutan pelbagai permohonan yang dikemukakan tertuduh.

Azlan menegaskan, ia penting kerana hanya melalui perbicaraan anaknya akan dapat menegakkan kebenaran sekali gus menangkis segala cacian dan tohmahan yang dilemparkan secara tidak adil.

Sehubungan itu, selaku seorang bapa, beliau amat mengharapkan pihak tertuduh iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi mengemukakan permohonan yang seolah-olah seperti satu strategi untuk melengahkan perbicaraan sebenar.

‘‘Kita tidak akan berundur ke belakang walau seinci pun. Kita akan berdepan dengan keadilan di mahkamah, kita tidak risau, biarlah mahkamah menentukan segalanya.

‘‘Sebab itu yang kita minta hanya satu tarikh bicara ditetapkan segera dan kita harap pihak satu lagi tidak lagi membuat permohonan dengan niat melengahkan kes ini. Anwar juga perlu memberi keadilan kepada Saiful,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selepas tiga permohonan dikemukakan, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan satu lagi permohonan berkaitan kes liwat bekas pembantunya pada 11 Ogos lalu.

Anwar bagaimanapun gagal dalam semakan kehakiman itu untuk mendapatkan perintah perisytiharan agar pasukan pendakwa raya sedia ada mengecualikan diri daripada terlibat mengendalikan pendakwaan atau rayuan kes tersebut.

Berikutan permohonan demi permohonan yang difailkan oleh Anwar telah menyebabkan perbicaraan kes itu yang sepatutnya bermula pada 1 Julai lalu, berkali-kali dijadualkan semula.

Anwar, 62, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Perbicaraan kes liwat itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Jenayah), Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 3 November ini.

Tiada ulasan: