Selasa, 13 Oktober 2009

Kes aneh, pengawal dibicara semula selepas 16 tahun

BERNAMA


Ketika menyifatkannya sebagai kes luar biasa, Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan perbicaraan semula bekas pengawal keselamatan yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan dalam kes senjata api di Johor Bahru, 16 tahun lepas.

Mahkamah membatalkan sabitan ke atas Abdul Rahim Itap selepas mendengar bahawa tidak terdapat alasan kehakiman daripada Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang yang terlibat dalam kesnya, oleh kerana kedua-dua hakim telah meninggal dunia.

Peguam bela K Viknesvaran berkata juga terdapat kekeliruan tentang seksyen apa dalam Akta Senjatapi (Hukuman Tambahan) beliau didakwa, oleh kerana kertas tuduhan tidak ada dalam rekod rayuan.

Panel yang terdiri daripada hakim-hakim Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk KN Segara, dan Datuk Ahmad Ma'arop memerintahkan Abdul Rahim, 41, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 26 Okt bagi sebutan kes.

Abdul Rahim, yang telah menjalani hukuman penjara selama 16 tahun, telah merayu selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen mensabit dan menjatuhkan hukuman ke atasnya pada 30 Mei 2006.

Pada prosiding hari ini, peguam bagi Abdul Rahim berkata tidak terdapat alasan penghakiman daripada hakim Mahkamah Sesyen Abdul Kahar Kamar dan Pesuruhjaya Kehakiman KP Gengadharan Nair yang kini telah meninggal.

Tentang kekeliruan tuduhan, beliau berkata hakim Mahkamah Sesyen ketika mencapai keputusannya, membuat rujukan bahawa Abdul Rahim dituduh di bawah Seksyen 5 akta berkenaan, bertentangan dengan hujah oleh kedua-dua peguam Abdul Rahim dan timbalan pendakwa raya yang merujuk kepada Seksyen 4 akta itu.

Seksyen 4 adalah kesalahan melibatkan pemameran senjata api, sementara Seksyen 5 memiliki senjata api.

Suriyadi berkata: "Ini sesuatu yang aneh. Anda tidak menemui kertas siasatan, tidak dapat menjelaskan bawah peruntukan mana dia dituduh... sekalipun jika kita menangguhkan (kes) ke tarikh lain, tidak akan berlaku sebarang perbezaan.

"Di sini, kita menangani nyawa seseorang, jadi kita perlu pastikan segalanya betul".

Viknesvaran berkata terdapat juga kekeliruan tentang hukuman oleh Mahkamah Sesyen yang mengisytiharkan penjara seumur hidup tetapi hukuman di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 5 ialah penjara ke akhir hayat dan tidak kurang daripada enam sebatan.

Di luar mahkamah, Viknesvaran berkata beliau akan membuat representasi kepada unit pendakwaan di Johor Baharu agar menarik balik tuduhan terhadap Abdul Rahim.

Tiada ulasan: