Selasa, 6 Oktober 2009

Kertas putih kejadian bangunan runtuh akan dikeluarkan

BERNAMA


IPOH: Kerajaan negeri Perak akan mengeluarkan kertas putih mini berhubung siasatan kes deretan rumah kedai lama yang runtuh dan mengorbankan dua nyawa di Jalan Kamaruddin Isa, Fair Park di sini Jumaat lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata laporan penuh itu akan disediakan oleh jawatankuasa yang diketuai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan dianggotai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Tempoh seminggu diberikan kepada MBI bagi menyiapkan kertas putih mini itu. Laporan terperinci berkenaan kemudiannya akan didedahkan kepada umum.

"Kita tidak akan membuat apa-apa kenyataan sebelum laporan itu siap kerana tidak mahu ia mengganggu proses siasatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai kejadian itu di MBI semalam.

Dr Mah menegaskan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil laporan kertas putih mini yang disediakan jawatankuasa berkenaan.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 9.30 malam Jumaat, dinding batu rumah kedai dua tingkat yang sedang dalam proses dirobohkan bagi projek pembangunan, runtuh menghempap empat kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran.

Kejadian itu mengakibatkan dua penumpang sebuah daripada kereta berkenaan terbunuh manakala seorang lagi cedera.

Tiada ulasan: