Isnin, 5 Oktober 2009

Kerajaan tidak akan benarkan mana-mana pihak gugat perpaduan rakyat

BERNAMA


PORT DICKSON: Kerajaan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggugat perpaduan kaum di negara ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang mempermainkan sensitiviti kaum-kaum ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata sejak Barisan Nasional (BN) mentadbir negara ini, parti itu telah berjaya menyatupadukan rakyat yang berbeza latar belakang budaya, adat resam dan agama.

"Hubungan akrab sesama kaum mesti dipertahankan dengan apa jua pun... Kita rasa tidak janggal dan kekok kerana sejarah telah membuktikan sejak sekian lama, masyarakat kita boleh hidup bersatu padu," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Aidilfitri di Taman PD Utama semalam.

Katanya hanya sekali iaitu pada 1969, sejarah hitam perbalahan kaum tercatat di negara ini dan kerajaan seterusnya tidak mahu melihat peristiwa sama berulang kembali.

"Dalam BN, kita mahu pastikan tumpuan untuk memupuk semangat perpaduan. Alhamdulliah ini sudah terjalin dengan baik. Kalau ada pihak yang sentuh isu perkauman yang boleh bangkitkan kemarahan dan akhirnya tercetus masalah, kita ada undang-undang Akta Hasutan, supaya dengan cara itu tidak ada pihak yang sewenang-wenangnya mempermainkan isu perkauman," katanya.

Perpaduan rakyat sudah lama terbentuk dalam BN dan bukan seperti parti pakatan pembangkang, BN menggunakan simbol yang sama untuk semua parti iaitu "dacing" dan parti ini ditubuhkan dengan carta dan undang-undang serta didaftarkan, katanya.

"Pembangkang buat fitnah kerana tiada isu. Mereka sudah bankrap dan tidak ada modal untuk kempen kerana itu mereka guna teknik fitnah dan cerita hal yang tidak benar dan saya percaya pengundi tidak akan terperdaya dengan tipu helah mereka," katanya.

Katanya negara ini mengamalkan demokrasi dan rakyat berhak mengundi manamana parti tetapi BN dengan rekod kecemerlangannya merupakan pilihan yang terbaik.

Bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang, calon BN, Tan Sri Isa Abdul Samad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan telah dikenali rakyat tempatan dan berpengalaman dalam soal pentadbiran, kata Muhyiddin.

Tiada ulasan: