Rabu, 7 Oktober 2009

Kerajaan perlu serius kuat kuasa larangan merokok

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam hari ini menyarankan kerajaan supaya meningkatkan lagi tahap penguatkuasaan larangan merokok di negara ini.

Presidennya, Datuk Dr. Jacob George berkata, beliau mengalu-alukan langkah kerajaan menaikkan harga rokok kerana ia mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan generasi bebas rokok.

Biarpun begitu, katanya, kenaikan harga rokok bukan satu-satunya langkah efektif membendung gejala merokok di negara ini.

"Di bangunan-bangunan kerajaan masih terdapat orang yang merokok seperti di tandas.

"Kita tidak mahu Kempen Tak Nak! Merokok hanya dilihat retorik semata-mata sebaliknya perlu ada kesungguhan untuk memastikan keberkesanannya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mulai semalam, perokok-perokok terpaksa membayar lebih bagi mendapatkan sekotak rokok apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga rokok kepada satu sen sebatang.

Ia berikutan pengumuman kenaikan cukai eksais yang dikuatkuasakan kerajaan pada minggu lalu.

Sementara itu, Jacob berkata, beliau juga mencadangkan kerajaan melaksanakan pendekatan 'zoning' iaitu menguatkuasakan larangan merokok di setiap tempat awam yang menjadi kunjungan orang ramai.

"Contohnya, di restoran, mereka merokok selepas makan sedangkan pada masa sama, terdapat orang yang tidak merokok berada di kawasan tersebut.

"Langkah ini penting bagi melindungi kesihatan orang yang tidak merokok daripada asap rokok yang sememangnya memberi kesan buruk apabila dihidu," katanya.

Tiada ulasan: