Jumaat, 23 Oktober 2009

Kerajaan Negeri Perkenal Program Biaya Pendidikan Anak-anak Miskin

TV SELANGOR


SHAH ALAM - Belia disaran merebut peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran teknikal untuk masa depan yang lebih terjamin.

Sehubungan itu, kerajaan negeri Selangor dan Industri Pendidikan Negeri Selangor (INPENS) menganjurkan Program Kemahiran Teknikal untuk golongan belia dari keluarga yang berpendapatan rendah.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, kerajaan negeri akan membiayai pendidikan setiap pelajar yang terbabit dalam program ini.

Langkah ini dijangka memberi kesan positif kepada masyarakat miskin, khususnya 21,000 keluarga fakir miskin di Selangor.

“Kerajaan membelanjakan sejumlah RM12,500 bagi setiap pelajar dalam tempoh setahun pengajian mereka dan kerajaan negeri akan membiayai seramai 200 orang pelajar bagi setiap tahun,”katanya.

Dr Xavier berkata demikian dalam sidang media selepas memberi taklimat kepada pelajar-pelajar program INPENS tersebut di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, petang tadi.

Beliau berkata kerajaan negeri mahu memberi peluang kedua kepada anak-anak Selangor yang terpinggir dari segi akademik ekoran tekanan kewangan yang dihadapi keluarga mereka.

“Saya difahamkan kelulusan minima yang diperlukan adalah lulus Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris sudah cukup untuk mereka melanjutkan pelajaran di INPENS bagi program ini”jelasnya lagi.

Sebanyak sebelas kursus teknikal ditawarkan INPENS bagi melahirkan belia yang berdaya saing.

Xavier menambah, setiap penuntut dibekalkan elaun sara diri RM100 bagi menambah keperluan harian.

Tiada ulasan: