Selasa, 27 Oktober 2009

Kerajaan akui wujud penderaan seksual terhadap wanita Penan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengakui dakwaan berhubung penderaan seksual di kalangan kanak-kanak perempuan dan wanita Penan oleh orang luar termasuk pekerja pembalakan dan peniaga adalah benar.

Menteri berkenaan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata rumusan Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan Bagi Menyiasat Dakwaan Penderaan Seksual Terhadap Wanita Kaum Penan di Sarawak mendapati perkara itu memang berlaku.

Bagaimanapun jawatankuasa itu tidak mempunyai statistik berkaitan bilangan wanita Penan yang dirogol dan bilangan kaum terbabit menjadi ibu di bawah umur 16 tahun, katanya dalam jawapan bertulis ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (BaganDAP) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Lim dalam soalannya meminta kementerian terbabit menyatakan bilangan wanita kaum Penan yang dirogol dan tindakan ke atas perogol.

Shahrizat berkata siasatan ke atas penderaan seksual tertakluk di bawah bidang kuasa polis dan pihak berkuasa itu sudah menubuhkan satu pasukan penyiasat khas untuk tujuan berkenaan.

Bagi menangani isu itu, beliau berkata kementerian melalui jawatankuasa berkenaan mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan kesedaran kaum Penan terhadap isu keganasan berkaitan wanita dan pendidikan seksual termasuk meningkatkan rondaan dan menganjurkan program pembangunan minda dan menangani masalah pengangkutan.-

Tiada ulasan: