Ahad, 25 Oktober 2009

Kemelut lantik Undang Luak Sungai Ujong

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Institusi Waris Adat Negeri Sembilan meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja sebagai jalan penyelesaian terakhir menyelesaikan kemelut pelantikan Undang Luak Sungai Ujong yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.

Jawatan itu kini disandang Datuk Mubarak Dohak, tetapi Institusi Waris Adat Negeri Sembilan tidak mengiktiraf beliau selepas melucutkan jawatannya melalui empat kerapatan adat (Mesyuarat Agung Adat Luak) pada 2001, 2004, 2005 dan 2006.

Sebaliknya, jawatan itu diserahkan kepada Datuk Othman Ismail dan timbul masalah baru kerana Mubarak masih mengekalkan jawatannya, termasuk memainkan peranan dalam istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, hari ini.

Lembaga Sungai Ujong merangkap Lembaga Tua Waris Di Ayer Negeri Sembilan, Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata sekiranya majlis pertabalan itu diteruskan, ia tidak sah dan cacat kerana melanggar peraturan adat.

“Mubarak sudah dilucutkan jawatan kerana melakukan beberapa kesalahan adat dan pelantikannya dulu juga tidak mengikut prosedur serta peraturan Adat Pusaka Luak Sungai Ujong. Majlis itu perlu dilaksanakan oleh Othman yang dilantik secara sah,” katanya di sini, semalam.

“Kami sendiri sudah banyak kali cuba berbincang, membuat bantahan tetapi tidak dilayan. Sudah tiba masa masalah ini diselesaikan melalui aturan undang-undang. Jika perlu, wujudkan Suruhanjaya Diraja yang perlu mendapatkan pakar dalam soal adat ini,” katanya di sini, semalam.

Katanya, jika Mubarak masih melaksanakan istiadat pertabalan pemerintah Negeri Sembilan yang baru itu, ia bercanggah dengan peraturan Adat Pesaka Luak Sungai Ujong dan Perlembagaan Negeri Sembilan 1959 serta Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: