Selasa, 13 Oktober 2009

Keluarga Parameswary tak sambut Deepavali sejak 10 tahun lalu kerana miskin




A. Parameswary menyuap anaknya V.Surenthar, 19, yang
cacat penglihatan dan terencat akal di rumahnya. -Foto BERNAMA

PULAU PINANG: Dalam kesibukan masyarakat India membuat persiapan menyambut Deepavali pada 17 Okt ini, A.Parameswary dan tiga anaknya hanya boleh melihat dari jauh kegembiraan jiran tetangga mereka itu disebabkan kedaifan hidupnya.

Parameswary, 40, ibu tunggal yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah institusi cacat penglihatan di Pulau Pinang, tidak pernah menyambut perayaan Deepavali sejak 10 tahun lalu kerana kesempitan hidup.

Parameswary menjadi balu selepas suaminya V.Vampalakam meninggal dunia akibat angin ahmar pada 1994, dan sejak itu, beliau terpaksa mengambil alih tanggungjawab menyara tiga anak lelakinya yang berumur 18 tahun, 19 tahun dan 20 tahun.

Lebih membebankan lagi, seorang daripada anaknya, V.Surenthar, 19, bukan setakat cacat penglihatan malahan mengalami terencat akal sejak dilahirkan dan terpaksa menggunakan lampin pakai buang dan memerlukan penjagaan yang rapi.

"Anak sulung saya, V.Prakash, 20, tidak tinggal bersama manakala anak bongsu, V.Haridran, 18, tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Jadi, saya memerlukan belanja yang banyak untuk menyara keluarga lebih-lebih lagi kerana Surenthar memerlukan makanan yang mudah dihadam seperti bijirin dan susu," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Dengan pendapatan bulanan RM800, Parameswary terpaksa membelanjakan sebahagian besar wang itu untuk menguruskan anaknya yang kurang upaya itu selain untuk sewa rumah, bayaran utiliti dan makan minum.

"Kami tidak pernah menyambut Deepavali kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli pakaian dan menyediakan kuih-muih seperti yang dibuat oleh jiran," katanya.

Menurut Parameswary, beliau pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk anaknya yang cacat itu beberapa kali dan dipanggil temuduga oleh jabatan itu pada 2003 tetapi tidak berhasil.

Katanya semasa beliau bekerja antara 8.30 pagi dan 5.30 petang setiap hari, Surenthar dijaga oleh jiran yang tinggal berhampiran rumahnya.

Atas kesempitan kewangan, Parameswary terpaksa meminjam RM5,000 daripada Ah Long dan kini beliau perlu membayar sebanyak RM560 sebulan serta melangsaikan ansuran tunggakan sewaan rumah projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) yang didiaminya kini berjumlah RM1,536 kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Wanita itu merayu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya menimbang permohonannya untuk mendapatkan bantuan bagi meringankan beban penjagaan anaknya yang kurang upaya itu.

Hari ini Pengerusi Jawatankuasa Sosial dan Kebajikan Malaysia Hindu Sangam Pulau Pinang, P.Murugiah, menyampaikan bantuan pampers dan kuih-muih kepada keluarga berkenaan bagi membolehkan mereka merasai suasana Deepavali.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga itu boleh menyalurkannya kepada Bendahari Malaysia Hindu Sangam di 70031 Park Avenue, Jalan Kebun Bunga, 10350, Pulau Pinang atau menghubungi Parameswary melalui talian 0174293960.

Tiada ulasan: