Khamis, 15 Oktober 2009

Kelab Penyokong PAS akan jadi sayap PAS segera

Ali Hashim


TASEK GELUGOR : Kelab Penyokong PAS akan ditingkatkan status sebagai sebuah sayap PAS yang mempunyai perlembagaan mereka sendiri tidak lama lagi.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr.Mujahid Yusof selepas menyampaikan sumbangan sempena sambutan Deepavali kepada penduduk keturunan India di Pokok Machang, Tasek Gelugor.

Isu kedudukan orang bukan Islam khasnya kaum India semakin kritikal sejak kebelakangan ini khasnya selepas PAS kalah teruk di Bagan Pinang.

Ia tambah menarik lagi apabila dikatakan hampir separuh anggota parti baru, Makkal Sakhti, adalah juga anggota Kelab Penyokong PAS.

Menuruk satu sumber, langkah ini mereka ambil kerana merasa tidak selamat dengan kedudukan mereka sekarang di dalam Kelab Penyokong PAS ini.

Menurut Mujahid, status Kelab Penyokong PAS akan ditingkatkan untuk menjadi sayap parti dalam bentuk himpunan, dewan atau pun seumpamanya yang akan diputuskan kelak.

Image "Dengan status tersebut maka kelab ini dapat memainkan peranan yang lebih efektif lagi. Ianya juga akan mempunyai perlembagaan sendiri, pemilihan pimpinan, struktur organisasi dan perkara yang berkaitan dengan organisasi ini.

"Sebagai Pengerusi saya telah pun membawa perkara ini ke peringkat atasan dan ianya dalam proses 'drafting'.

"Kemungkinan menjelang akhir tahun ini apabila drafnya telah siap maka draf baru ini akan dicadangkan untuk sedikit pindaan supaya kelab ini mempunyai status dalam parti," katanya.

Dalam majlis tersebut sumbangan berupa wang dan beras telah diberikan bagi meringankan beban masyarakat India yang tidak berkemampuan dalam kawasan Tasek Gelugor bagi menyambut sambutan Deepavali.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Dewan Ulama PAS Pulau Pinang, Ustaz Sooid Mohd Amin, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Zulkeply Ishak dan kepimpinan PAS kawasan Tasek Gelugor serta Kelab Penyokong PAS Pulau Pinang. _

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Monday, October 19, 2009
PAS Perlu Tangani Isu Bukan Islam Sertai PAS Dengan Baik -Dr Mohd Hasyim

KL. PAS perlu menangani dan menjelaskan isu yang dikemukakan oleh Pemuda Gerakan Kedah sebaik-baiknya. Demikian pandangan Blog Ibnu Hasyim seperti yang dikemukakan oleh editornya Dr Haji Mohd Hasyim di sini padi tadi.

Sebelum ini, Malaysia Kini melaporkan Pemuda Gerakan Kedah menyifatkan cadangan PAS untuk menjadikan Kelab Penyokong PAS sebagai satu sayap parti itu merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap orang bukan Islam. Menurut parti itu lagi, sekiranya PAS benar-benar ingin menyerap rakyat bukan Islam ke dalam parti itu, PAS harus memberi keahlian penuh kepada anggota Kelab Penyokong PAS dan bukannya keahlian jenis kelas kedua yang hanya bertaraf sayap, kata Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang.

Beliau memetik kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Haji Awang yang dilaporkan berkata sokongan dari kalangan bukan Islam terhadap parti itu dilihat semakin meningkat dan dibuktikan dengan kesungguhan mereka dalam membantu jentera PAS dalam menghadapi beberapa pilihan raya kecil sebelum ini. Katanya, Datuk Seri Abdul Hadi mungkin telah terkeliru dengan ahli bukan Islam dari DAP dan PKR yang telah bekerja untuk jentera pilihan raya kecil Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, kata Tan, keputusan pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang menunjukkan kekecewaan rakyat, terutama golongan bukan Islam, terhadap dasar yang dicadang dan dilaksanakan PAS di negeri Pakatan Rakyat. Sokongan orang bukan Islam terhadap PAS akan terus merosot sekiranya PAS masih gagal untuk menerima Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dengan kebebasan agama mengikut perlembagaan negara kita. kata Tan.

"PAS perlu menangani masalah itu dengan baik." kata Dr Hj Mohd Hasyim. "Perkara ini perlu dijelaskan bukan saja dengan ucapan tetapi juga dengan tindakan, demi masa depan PAS, untuk di terima oleh seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum."

Katanya yang juga Presiden Grup Universiti Ulu Klang di pejabatnya di sini.

Dipetik dari
http://www.ibnuhasyim.com/2009/10/pas-perlu-tangani-isu-bukan-islam-serti.html