Ahad, 18 Oktober 2009

Kebakaran kapal bermula di geladak?

BERNAMA


IPOH - Kejadian kebakaran yang berlaku di Kapal Diraja (KD) Sri Inderapura ketika berlabuh di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada 8 Oktober lepas dipercayai bermula dari kawasan geladak kereta kebal di tingkat tiga kapal berkenaan.

Pemangku Penolong Penguasa Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Nadzri Zakaria berkata, TLDM masih menjalankan siasatan dan sebaik selesai barulah pihak bomba dipanggil untuk menyiasat punca kebakaran.

Katanya, kapal tersebut kini berada kira kira 1.5 batu nautika dari jeti Pulau Pangkor dan telah 70 peratus tenggelam pada bahagian belakang manakala kebakaran telah dipadamkan sepenuhnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Aidilfitri di ibu pejabat Bomba dan Penyelamat Perak di sini hari ini.

Menurutnya, sebuah syarikat swasta sedang menjalankan kerja-kerja mengapungkan bahagian kapal yang tenggelam tersebut.

Katanya, tumpahan diesel berlaku daripada kapal KD Sri Inderapura namun ianya tidak serius dan berjaya dikawal oleh agensi kerajaan yang berkaitan.

Katanya, ketika kebakaran kapal berkenaan membawa 2.5 juta liter diesel bagi pelayarannya ke Kota Kinabalu, Sabah.

Kapal tersebut dilaporkan terbakar pada 8 Oktober lalu pada pukul 6.30 pagi ketika sedang berlabuh di Pangkalan TLDM Lumut.

Kapal tersebut mengalami kebakaran kali kedua sehari kemudian dan ditunda keluar dari jeti Pangkalan TLDM ke Tanjung Hantu berhampiran perairan Pulau Pangkor untuk kerja-kerja memadamkan api serta untuk mengelak kejadian tidak diingini.

Tiada ulasan: