Jumaat, 23 Oktober 2009

JAIS bebaskan anak 'Rasul Melayu'

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Anak lelaki 'Rasul Melayu' yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika menghadiri prosiding bapanya, Abdul Kahar Ahmad di Mahkamah Tinggi Syariah di sini petang semalam, dibebaskan malam tadi.

Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, Zulhilmi Abdul Kahar, 34, dibebaskan dengan jaminan JAIS oleh dua orang penjawat awam kira-kira pukul 8 malam.

Menurut beliau, lelaki itu dibebaskan kerana pihak pendakwaan masih memerlukan masa untuk mengumpul lebih banyak bukti serta menyiapkan kertas siasatan sebelum dia dihadapkan ke mahkamah.

"JAIS perlu melengkapkan pertuduhan ke atas lelaki tersebut dan sebaik sahaja siap, kami akan tahan dia semula untuk tujuan pendakwaan.

"Ada beberapa pertuduhan yang kami akan dakwa lelaki itu, antaranya menyebarkan ajaran sesat bapanya menerusi laman blog dan SMS (khidmat pesanan ringkas) selain menunjukkan isyarat lucah kepada hakim pada prosiding semalam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Zulhilmi yang dikehendaki JAIS kerana dipercayai masih aktif menyebarkan ajaran sesat bapanya menerusi Internet dan SMS ditahan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Sebelum diberkas, dia dikatakan menyamar sebagai petugas media dengan memakai tag nama kakitangan sebuah stesen televisyen swasta bagi mengaburi pihak penguat kuasa JAIS di kawasan mahkamah tersebut.

Bagaimanapun, dia diberkas pihak penguat kuasa agama jabatan itu di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 1.30 petang.

Bapa Zulhilmi, Abdul Kahar dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun, denda sebanyak RM16,500 dan sebatan enam kali oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini kelmarin selepas mengaku bersalah mengisytiharkan dirinya sebagai rasul orang Melayu zaman ini.

Tiada ulasan: