Isnin, 12 Oktober 2009

Jabatan Perikanan beroperasi 24 jam

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Jabatan Perikanan Malaysia mengambil langkah berjaga-jaga termasuk membuka pusat kawalan operasi 24 jam bagi membantu nelayan berikutan cuaca tidak menentu.

Justeru, nelayan di negara ini dinasihatkan agar tidak bimbang untuk turun ke laut bagi menangkap ikan dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Junaidi Che Ayub, berkata pihaknya amat prihatin dengan keselamatan nelayan yang menjalankan operasi penangkapan ikan di laut lebih-lebih lagi dalam cuaca seperti ini.

“Kita ingin memberi keyakinan kepada nelayan supaya tidak bimbang kerana prosedur dan langkah keselamatan telah diambil bagi membantu nelayan yang ditimpa bencana di laut.

“Aspek keselamatan nelayan adalah perkara penting yang diberi perhatian serius. Nelayan dinasihatkan supaya membawa jaket keselamatan sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beberapa kejadian bencana yang menimpa negara jiran seperti angin kencang, banjir dan ombak besar menimbulkan kebimbangan kepada nelayan tempatan yang ingin ke laut untuk menangkap ikan.

Selain pusat kawalan, Junaidi berkata, pihaknya juga mempunyai prosedur pengibaran bendera merah di pangkalan sebagai tanda amaran keadaan laut dan nelayan dinasihatkan supaya berwaspada.

“Bagi gerakan mencari dan menyelamat, jabatan akan bekerjasama rapat dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, nelayan yang memiliki sistem tanpa wayar (wireless), boleh menghubungi Radio Nelayan di saluran 5802.00 khz.

“Nelayan boleh menghubungi talian 03-88704058 sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Tiada ulasan: