Khamis, 29 Oktober 2009

J-Qaf bakal diperkenal di sekolah menengah

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk memperkenalkan pengajian Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) di peringkat sekolah menengah sebagai langkah untuk memperluaskan pengajian bidang tersebut.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, setakat ini prestasi pelajar yang mengikuti program itu amat menggalakkan walaupun di kalangan pelajar yang belum mencecah tahun enam.

“Data pencapaian (lulus) adalah seperti berikut, amali wuduk 98.97 peratus, amali solat bacaan 90.26 peratus, amali solat perlakuan 99.25 peratus, bahasa arab 81.24 peratus, dan Jawi 89.87 peratus,” katanya di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) yang bertanya mengenai langkah kerajaan dalam meluaskan pembelajaran bahasa Arab di peringkat sekolah menengah.

Dr Mohd Puad berkata, kerajaan juga akan membina lebih banyak sekolah menengah kebangsaan agama memandangkan minat dan permintaan yang tinggi di kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah aliran itu.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) Dr Mohd Puad berkata, kira-kira RM1.2 juta diperuntukkan untuk bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab tahun ini.

Tiada ulasan: