Rabu, 7 Oktober 2009

Isu bantuan makanan tamat tarikh luput tidak berasas!

UTUSAN ONLINE


PADANG - Dakwaan media Indonesia bahawa Pasukan Kemanusiaan Malaysia menghantar bantuan Makanan Angkatan Tentera yang telah tamat tarikh luputnya kepada mangsa gempa bumi, di sini, adalah tidak berasas dan sengaja diperbesar-besarkan.

Sumber Utusan Malaysia memberitahu, semua makanan itu sebenarnya tamat tarikh luputnya pada November dan Disember ini.

Katanya, tarikh berkenaan tercatat dengan jelas pada setiap pek makanan itu antaranya terdiri daripada dal kacang sepat, jem nenas dan betik dalam sirap.

"Isu ini tercetus kerana kita menggunakan kotak yang tercatat tarikh 2008 untuk membawa makanan berkenaan.

"Tarikh itu sebenarnya sudah ditampal dengan tarikh baru menggunakan sekeping kertas putih, cuma ia tertanggal sewaktu diangkut ke sini," katanya yang ditemui di sini, hari ini.

Media Indonesia hari ini dilaporkan membuat dakwaan bahawa Malaysia menghantar bantuan makanan yang sudah tamat tarikh luput.

Ia adalah serangan terbaru kepada Malaysia selepas pelbagai isu remeh temeh yang tercetus sebelum ini seperti Ganyang Malaysia, tarian Pandet, Ambalat dan Manohara Odelio Pinot.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber berkenaan berkata, makanan angkatan tentera itu adalah untuk kegunaan Pasukan Kemanusiaan Malaysia sahaja, bukannya untuk mangsa gempa bumi.

Namun katanya, atas dasar keprihatinan, baki makanan berkenaan turut diagihkan kepada mangsa di kawasan operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

"Untuk makluman, sehingga hari ini Pasukan Kemanusiaan Malaysia tidak pernah menghantar bantuan makanan, yang diagihkan itu adalah lebihan stok yang kita bawa.

"Begitu juga dengan bantuan keperluan asas seperti selipar, selimut dan kain sarung yang diagihkan di Pariaman semalam, ia sebenarnya untuk kegunaan kita sahaja tapi apabila ada lebihan kita agihkan kepada penduduk," jelas beliau.

Tiada ulasan: