Jumaat, 9 Oktober 2009

Isa diselamat, Norza diseret ke mahkamah

M Faqih


KOTA BHARU : Bolehkah Tan Sri Isa Samad diumpamakan seperti bayi yang sudah bersih dari segala dosa rasuah setelah digantung keahlian Umno sekadar tiga tahun ?.

Sedangkan pemimpin lain yang juga disabitkan dengan kesalahan politik wang telah diheret ke mahkamah.

Lihat tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutan, Datuk Norza Zakaria.

Norza beberapa kali diseret ke Mahkamah Majistret Temerloh setelah didakwa atas kesalahan rasuah wang ketika pemilihan Umno peringkat pusat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

Dan jika sabit kesalahan Norza boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Nasib yang sama juga menimpa Naib Ketua Umno Beruas, Azman Noh apabila disyaki memberi rasuah ketika pemilihan bahagian itu, 12 Oktober tahun lalu.

Persoalannya sekarang mengapa Isa diselamatkan dan tidak kedengaran pula didatangi SPRM seperti dialami Norza dan Azman.

Sumber Umno di Kuala Lumpur mengakui kesalahan Norza dan Azman lebih kurang sama dengan Isa, di mana sama-sama terbabit dengan politik wang.

"Cuma dalam isu ini Isa terlepas kerana ada campurtangan pihak atasan Umno. Biar pun terlepas namun dosa politik wang tetap masih melekat kepada Isa.

"Norza sudah diketahui umum pemimpin muda yang rapat dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sekarang Paklah sudah tidak ada kuasa, jadi orangnya dibiarkan terdedah kepada SPRM," ujarnya ketika dihubungi di sini.

Biar pun ketika ini Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah mencongak meraikan kemenangan di Bagan Pinang, namun 'dosa' Isa tidak terlepas begitu sahaja.

Ramai pemerhati politik melihat Bagan Pinang seumpama Ijok dan Pengkalan Pasir yang mungkin dimenangi BN buat seketika dan dirampas semula Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum depan.

"Rata-rata orang Melayu yang ditemui di Bagan Pinang kelihatan sudah sebati dengan Isa, lagi pun ayahnya dikatakan membuka penempatan di situ.

"Mereka seakan kurang menghiraukan dosa rasuah yang membelenggu Isa. Namun bagi generasi muda mereka lebih berminat kepada pemimpin yang ada integriti," kata seorang petugas dari Kubang Kerian, Harman Nor, 40.

Sebenarnya isu yang membelit diri Isa juga turut dibimbangi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila terpaksa membuat penjelasan dari Paris Isnin lalu dan menyebut Isa telah dihukum dengan penggantungan sebagai ahli Umno.

Katanya, Isa layak bertanding dan berhak mendapat peluang kedua kerana beliau sudah menebus kesalahannya selepas menerima hukuman yang cukup berat sehingga hilang jawatan menteri dan Naib Presiden Umno.

Najib juga tidak nampak BN mampu menang dengan majoriti besar di Bagan Pinang kerana kesalahan lama dilakukan Isa.

"Usah kata menang besar atau kecil, asalkan menang. Yang penting menang," kata Najib. _

Tiada ulasan: