Isnin, 5 Oktober 2009

Indonesia bakal musnah akibat gempa?

DETIK DAILY


SEBUAH stesen televisyen tempatan melaporkan sepanjang bulan September sahaja sebanyak 30 kejadian gempa direkodkan di Indonesia.Ini bermakna hampir setiap hari kejadian gempa berlaku di Indonesia cuma yang paling kuat adalah pada awal bulan ini di Tasikmalaya yang mengorbankan 123 orang dan terbaru di Sumatera Barat pada 30 September lalu yang dijangka mengorbankan lebih banyak mangsa.

Mungkin juga gempa kali ini lebih buruk daripada gempa yang berlaku pada 2006 di Yogyakarta yang mengorbankan kira-kira 6,000 orang.

Banyak pihak meramalkan gempa yang lebih dahsyat bakal melanda Indonesia dan seperti biasa gempa tidak dapat diagak tarikhnya, cuma hanya dapat diramalkan.

Ramalan itu berdasarkan faktar bahawa tenaga yang kuat kini terkumpul di lokasi Mentawai yang belum dilepaskan sepenuhnya.

Pusat gempa Padang yang terjadi Rabu pukul 1.16 petang dengan kekuatan 7.6 skala richter itu masih dipinggir Mentawai.

Pakar gempa Indonesia, Dr. Hery Harjono dipetik agensi berita Antara sebagai berkata, sejak tahun 2007 ketika kejadian gempa Bengkulu juga tidak melibatkan segmen Mentawai.

Pakar Geologi itu mengatakan, secara geologis, gempa besar di atas magnitud lapan di lokasi Mentawai memang pernah terjadi pada masa lalu iaitu pada tahun 1833 dan gempa itu dijangka berulang dalam tempoh 240 tahun.

Ketegangan

Tempoh berkenaan dikatakan semakin hampir atau telah tiba kerana berdasarkan kajian yang dijalankan mendapati kuasa dan ketegangan yang amat besar berlaku di kawasan berkenaan.

Oleh kerana gempa di Padang terlalu hampir dengan kawasan Mentawai, Hery khuatir ia akan memicu pembebasan tenaga di Mentawai yang akan mengakibatkan gempat yang dahsyat.

Persoalannya kini apakah rakyat di kawasan berkenaan telah bersedia atau disediakan oleh kerajaan untuk menghadapi gempa sebegitu kuat?

Apakah bangunan-bangunan yang dibina di kawasan berkenaan menggunakan material yang tahan gegaran sehingga 9 skala richter?

Memang jelas dilihat bangunan di Padang contohnya tidak mampu bertahan walaupun gempa tidak sampai 8 skala richter apabila banyak bangunan yang menyembah bumi termasuk hotel dan pusat membeli-belah.

Kanak-kanak dan murid sekolah juga kelihatan memang tidak dilatih untuk menyelamatkan diri ketika kejadian gempa dan buktinya 60 murid yang sedang mengikuti kelas tambahan tertimbus di bawah runtuh bangunan kerana gagal keluar dengan cepat untuk menyelamatkan diri.

Ikatan Ahli Geologi Indonesia menyatakan gempa utama yang terjadi di Sumatera Barat berada di jalur patahan Nias-Mentawai, sehingga berpotensi menimbulkan gempa-gempa berikutnya.

"Saya lihat gempa itu terjadi pada jalur besar Nias-Mentawai, sehingga akan ada gempa-gempa lain," kata Jonathan I Tarigan kepada ANTARA.

Gempa-gempa yang terjadi pada jalur patahan Nias-Mentawai yang tidak dapat diramalkan itu juga berpotensi menimbulkan gelombang tsunami jika terjadi di laut seperti Laut Hindia dan Selat Melaka.

Pengalaman penulis sendiri ketika berdepan situasi gempa Tasikmalaya yang turut menggegarkan Jakarta memang cukup menakutkan.

Gempa hanya mengambil 10 hingga 20 saat sahaja untuk meranapkan bangunan dan adalah mustahil untuk penulis yang menghuni tingkat 25 bangunan dapat turun melalui tangga kecemasan dalam tempoh sebegitu singkat.U/M

Tiada ulasan: