Khamis, 1 Oktober 2009

Ibu mengandung terperangkap hampir sejam akibat gegaran

BERNAMA


PUTRAJAYA: Seorang wanita yang mengandung lima bulan cemas berikutan terperangkap hampir sejam di rumahnya di tingkat teratas pangsapuri 16 tingkat di Presint 14 di sini semalam.

Norma Ali, 25, yang sedang mengandung anak sulung, terperangkap di antara pintu rumah dan pintu jeriji di bahagian hadapan rumahnya ketika sedang tergesa-gesa hendak keluar rumah berikutan gegaran gempa bumi yang berlaku petang semalam.

Norma berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 6.20 petang dan beliau terperangkap kerana pintu rumahnya ditiup angin dan kunci rumah pula tertinggal di dalam rumah.

"Nak minta tolong jiran pun, ramai yang dah keluar rumah akibat gegaran itu. Saya dapat telefon suami yang sedang bekerja, memberitahu yang saya terperangkap dan suami terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPA)," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter berlaku di selatan Sumatera, Indonesia pada pukul 6.16 petang menyebabkan gegaran dirasai di beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Gegaran yang dirasai di sekitar Lembah Klang menyebabkan orang ramai bergegas keluar daripada pejabat dan bangunan tinggi.

Seramai empat anggota JPA Putrajaya tiba kira-kira pukul 7.20 malam dan berjaya memotong mangga pada pintu jeriji dan menyelamatkan mangsa.

Norma yang kelihatan letih bagaimanapun bersyukur kerana tiada kejadian buruk berlaku.

Suami mangsa, Mohd Firdaus Abdul Mutalib, 26, pekerja swasta yang baru sahaja tiba dari Petaling Jaya berkata beliau bergegas dari tempat kerjanya apabila dimaklumkan isteri mengenai kejadian itu.

"Jalan sesak sebab itu saya lewat sampai. Tapi alhamdulillah, semuanya selamat," katanya sambil menarik nafas lega.

Seorang pekerja swasta, Abdul Mutalib Mohd Napawi, 34, memberitahu mereka dibenarkan naik semula ke rumah kirakira pukul 7.45 malam selepas pemeriksaan dilakukan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Beliau yang tinggal di tingkat tujuh memberitahu gegaran itu merupakan kali kedua dirasainya selepas yang pertama berlaku sehari sebelum berpuasa.

"Keadaan agak cemas juga tadi berikutan gegaran yang dirasai agak kuat," katanya.

Tiada ulasan: