Selasa, 6 Oktober 2009

Hospital cuai, bayi saya dilahirkan patah tangan: Ibu

BERNAMA


Seorang wanita hari ini mendakwa kecuaian petugas wad bersalin di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani menyebabkan bayinya yang dilahirkan di wad itu kini menderita sakit akibat patah tangan kiri.

Faizah Ibrahim, 28, berkata bahawa selepas melahirkan anak keduanya itu pada 14 Sept lepas, seorang doktor memaklumkan kepada beliau bahawa tangan kiri bayi yang dilahirkan itu telah patah ketika dikeluarkan dan memintanya supaya tidak membuat sebarang aduan.

Katanya, disebabkan bersetuju dengan nasihat doktor itu dan percaya bayinya akan pulih seperti biasa, beliau tidak mendedahkan kecuaian petugas wad bersalin itu kepada mana-mana pihak sebelum ini.

"Selepas 11 hari di wad, bayi lelaki saya dibenarkan keluar tetapi sekarang tangan bayi saya ini semakin bengkak dan kebiruan sehingga ke tapak tangan manakala tangan sebelah kanannya pula mengalami masalah saraf," kata Faizah kepada Bernama di rumahnya di Kuala Pegang di Baling.

Katanya, anak beliau Mohamad Afif Aidil Mohamad Shah Al Fandi, sering menangis kesakitan dan sedang menerima rawatan di Hospital Baling.

Faizah berkata pegawai perubatan di Hospital Sultan Abdul Halim itu telah menunjukkan gambar x-ray kepada beliau sebelum tangan bayinya itu disimen.

Suami beliau Mohamad Shah Al Fandi Md Yusof, 28, seorang pekerja kampung, berkata mereka bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak Hospital Sultan Abdul Halim atas kecuaian yang menyebabkan anaknya menderita kesakitan.

"Saya sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anak kami akibat kecuaian pihak hospital dan kami akan mengambil tindakan undang-undang," kata beliau.

Pengarah hospital berkenaan Dr Harris Fadzilah Che Hashim gagal dihubungi tetapi Bernama difahamkan pihak hospital telah memberi penjelasan mengenai kejadian itu kepada ibu bapa bayi berkenaan baru-baru ini.

"Kita telah memberi penjelasan mengenai kejadian itu dan meminta ibu bapa bayi merujuk semula ke hospital ini jika ada sebarang masalah," kata seorang jurucakap hospital itu.

Tiada ulasan: