Rabu, 28 Oktober 2009

Gerakan bincang pinda perlembagaan parti

KLPOS.COM


PERSIDANGAN Perwakilan Kebangsaan Gerakan pada 31 Okt dan 1 Nov akan membincangkan pindaan perlembagaan parti, kata Setiausaha Agung parti Teng Chang Yeow pada Khamis.

Persidangan ke-38 selama dua hari itu akan menumpukan terhadap amanat Presiden Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, kepada anggota akar umbi dan orang ramai dan akan disalurkan melalui pelbagai kaedah untuk memastikan amanat itu sampai kepada golongan sasaran.

Kira-kira 1,800 perwakilan dijangka menghadiri persidangan itu yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi Barisan Nasional pada 1 Nov. Penasihat parti Tun Dr Lim Keng Yaik juga dijangka hadir.

"Taklimat tertutup oleh presiden kepada perwakilan akan diadakan buat pertama kalinya. Presiden akan memberikan taklimat kepada perwakilan mengenai hala tuju parti, pindaan perlembagaan dan juga perkembangan beberapa projek yang sedang dilaksanakan oleh Gerakan seperti Wawasan Open University," kata Teng pada sidang akhbar di ibu pejabat parti di sini.

"Sepertimana diumumkan oleh presiden, kami akan mencadangkan beberapa pindaan terhadap perlembagaan parti, satu daripadanya ialah untuk membuat pindaan terhadap pelantikan pemegang jawatan parti iaitu bagi jawatan timbalan setiauasaha agung dan timbalan bendahari agung," katanya.

Teng berkata mengikut perlembagaan sedia ada, jawatan timbalan perlu dilantik daripada kalangan anggota jawatankuasa yang dipilih, tetapi kini mereka mahu memindanya untuk membolehkan pelantikan dibuat daripada kalangan orang luar dan anggota jawatankuasa pusat yang dipilih.

Katanya ketetapan mengenai penubuhan cawangan juga akan dipinda.

"Pada ketika ini, perlembagaan Gerakan hanya membenarkan 18 cawangan di setiap bahagian, satu bahagian ialah satu kawasan Parlimen, sekarang kami mahu lebih daripada 18 cawangan," katanya.

Pergerakan Pemuda dan Wanita Gerakan juga akan mengadakan program pada persidangan itu dan buat pertama kalinya keseluruhan persidangan itu akan disiarkan secara langsung melalui laman web parti.

Tiada ulasan: