Sabtu, 10 Oktober 2009

Gempa di Bukit Tinggi, Janda Baik tidak bahaya

UTUSAN ONLINE


BENTONG - Kejadian gempa bumi yang mengejutkan penduduk Bukit Tinggi dan Janda Baik di sini semalam hanya gegaran lemah yang tidak mendatangkan kerosakan kepada struktur bangunan di kawasan tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Dr. Yap Kok Seng justeru berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dan cemas kerana struktur bangunan di negara ini dapat menahan gempa berukuran sehingga 5.5 skala Richter.

Katanya, gegaran lemah yang dicatatkan semalam hanya berukuran satu hingga 2.8 skala Richter.

Beliau berkata, catatan ukuran paling tinggi yang pernah dicatatkan di kawasan tersebut adalah berukuran 3.5 skala Richter berlaku pada 30 November 2007.

"Pada skala (3.5 skala Richter) ini, sesebuah kawasan yang mengalami gempa tersebut belum boleh diisytiharkan dalam lingkungan bahaya memandangkan gegaran itu berskala kecil.

"Walaupun begitu, orang ramai perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku," katanya semasa taklimat mengenai kejadian gempa tersebut di Pejabat Daerah Bentong di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha (KSU) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah.

Beliau mengulas kegemparan kira-kira 6,000 penduduk di kawasan tersebut, apabila lapan kejadian gempa kecil berlaku dari pukul 5.45 pagi hingga 12.04 tengah hari semalam.

Walaupun tiada sebarang kerosakan harta benda atau kecederaan, namun gempa itu menyebabkan penduduk di dua kawasan berkenaan panik kerana ia lebih kuat berbanding sebelum ini.

Kok Seng memberitahu, kejadian gempa bumi di sekitar kawasan Bukit Tinggi merupakan proses penstabilan semula batu-batan di kawasan tersebut.

Ujarnya, ia mempunyai kaitan dengan gempa bumi kuat yang melanda Padang, Sumatera Barat, Rabu minggu lalu sehingga memberikan kesan gegaran kecil.

"Berdasarkan pola dan sejarah lokasi, kita berpandangan hanya gempa bumi kecil sahaja yang berpotensi berlaku di zon Garis Sesar Bukit Tinggi.

"Garis tersebut telah wujud sejak jutaan tahun lalu dan tidak aktif kerana tiada kejadian gempa bumi sejak ribuan tahun yang lalu," jelasnya.

Sebelum itu, katanya, bermula 30 November 2007 sehingga 25 Mei tahun lalu, 17 kejadian gempa kecil dikesan di sekitar kawasan Bukit Tinggi dan Janda Baik.

Tiada ulasan: