Selasa, 13 Oktober 2009

Gegaran tidak jejas projek terowong air Pahang-Selangor

BERNAMA


Kerja-kerja projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang bermula pada 1 Jun lepas berjalan lancar malah telah mendahului jadual sebanyak 3.4 peratus.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Dr Halim Man berkata projek yang menelan kos RM3.9 bilion itu tidak mempunyai sebarang masalah khususnya daripada segi kesan terhadap alam sekitar dan sosial masyarakat setempat.

Beliau berkata kejadian gegaran di Janda Baik baru-baru ini juga tidak memberi kesan terhadap kerja-kerja pelaksanaan projek tersebut.

"Kita telah mengambil kira aspek seismologi, geologi melalui tenaga pakar yang kita ada dan ia tidak menjejaskan projek ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di tapak projek berkenaan di Karak dekat Bentong hari ini.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memantau pergerakan tanah bagi memastikan projek itu tidak mengalami sebarang kesulitan.

Dr Halim berkata kerja-kerja pembinaan terowong sepanjang 44.6km dengan kedalaman sehingga 1.2km akan bermula pada Disember ini dengan menggunakan 'mesin pengorek terowong' yang diimport dari Amerika Syarikat.

Projek mega itu diluluskan oleh kerajaan persekutuan bagi memenuhi keperluan bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga tahun 2025 dan ia dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2014.

Sebahagian besar pembiayaan projek itu adalah melalui pinjaman Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (Jica) dan selebihnya dibiayai geran kerajaan persekutuan.

Perjanjian pinjaman yang ditandatangani pada 31 Mac 2005 memperuntukkan bahawa Jica akan menanggung sebanyak 75 peratus daripada kos kerja pembinaan, manakala baki 25 peratus lagi akan ditanggung kerajaan.

Tiada ulasan: