Isnin, 5 Oktober 2009

DUN Bagan Pinang: Gelanggang dibuka, PAS lancar serangan pertama

MSTAR ONLINE


KEMERIAHAN sambutan Aidilfitri di bulan Syawal tahun ini terus berganda di Port Dickson dan sekitar pantai Teluk Kemang dengan kerancakan kempen pilihan raya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Sebaik sahaja gelanggang pertandingan dibuka semalam, kawasan pesisir pantai Teluk Kemang dan Bagan Pinang seakan berpesta dan penuh ceria dengan kibaran bendera dan poster parti-parti politik yang bertanding.

Barisan Nasional (BN) sudah pastinya paling menonjol dengan poster-poster gergasi yang tertera gambar calon yang menjadi taruhan iaitu Tan Sri Mohd Isa Samad dan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohammad Hassan.

Pada pilihan raya kali ini, BN sekali lagi ditentang calon PAS iaitu Pesuruhjaya negeri, Zulkefly Mohamad Omar.

Walaupun keputusan Pilihan Raya Umum 2008 jelas menunjukkan PAS tidak diterima oleh pengundi di Bagan Pinang, namun parti itu tetap yakin rakyat di kawasan itu mahukan perubahan.

Tempoh lapan hari berkempen sudah pasti akan diisi dengan sebaik mungkin oleh jentera parti masing-masing.

Walaupun hari ini merupakan hari pertama berkempen, namun di sana sini dapat dilihat ada sahaja aktiviti termasuk rumah terbuka sempena hari raya, aktiviti kemasyarakatan, majlis ramah mesra, kunjungan ke pasar malam dan juga ceramah-ceramah politik.

Mungkin momentumnya tidaklah begitu rancak, namun gelombangnya sudah dapat dirasai sedikit demi sedikit kerana setiap individu yang ditemui di sekitar Teluk Kemang dan pantai Port Dickson akan memperkatakan mengenai pilihan raya kecil ini.

Masing-masing cuba membuat ramalan mengenai siapakah calon yang menjadi pilihan pengundi di Bagan Pinang sama ada mereka selesa dengan calon 'orang kampung sendiri' seperti Mohd Isa ataupun muka baru di kawasan berkenaan seperti Zulkefly.

Hari pertama berkempen, PAS melepaskan tembakan pertamanya dengan membangkitkan isu 'kelemahan' Mohd Isa semasa beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun.

Isu projek terbengkalai di kawasan DUN Linggi iaitu tempat beliau menjadi wakil rakyat pada ketika itu telah dibawa masuk ke Bagan Pinang.

Pendedahan yang dibuat Naib Presiden PAS yang juga pengarah jentera pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Salahuddin Ayub hari ini mengenai beberapa projek terbengkalai seperti pembinaan perhentian bas di kawasan DUN Linggi serta projek naik taraf jalan utama Pasir Panjang ke Linggi merupakan strategi yang digunakan PAS.

Isu berkenaan digunakan untuk menenggelamkan aura dan populariti yang dimiliki Mohd Isa dan cakap-cakap yang mengatakan jika pengundi memilih anak tempatan seperti beliau sebagai wakil rakyat, segala masalah yang dihadapi akan berjaya diselesaikan.

Bagaimanapun Mohd Isa yang terkenal dengan sikap ramahnya hanya tersenyum ketika menyedari serangan 'peluru' pertama daripada PAS adalah berkisar mengenai kredibilitinya sebagai pemimpin yang berpengalaman.

Ketika ditemui sewaktu sibuk berkempen di majlis anjuran KEMAS Teluk Kemang, Mohd Isa berkata soal anak tempatan bukanlah isu penting bagi BN.

Sebaliknya beliau menyifatkan PAS sebenarnya takut dengan bayang-bayang sendiri.

"Soal anak tempatan tak timbul sangat, kita pun tak main isu anak tempatan sangat... tapi mereka sebenarnya rasa takut kerana (calon) mereka bukan anak tempatan, mereka khuatir dan takut dengan bayang-bayang.

"Soalnya di sini bukanlah mengenai anak tempatan tapi soal kemampuan.

"Kalau saya tengok kenyataan calon PAS dalam akhbar hari ini, dia mengatakan kalau dia menang dia akan mengenali masalah, sedangkan saya dah tahu masalah dan tahu cara menyelesai, itu perbezaan antara BN dengan pembangkang," katanya.

Mengenai isu projek terbengkalai, Mohd Isa menjelaskan PAS sebenarnya sekadar membangkitkan isu untuk menimbulkan kemarahan rakyat tanpa mengetahui sebab ia terbengkalai.

"Mereka tahu sebut sahaja, tapi tak tahu apa yang berlaku kerana sebahagian projek yang terbengkalai itu adalah projek swasta," katanya lagi.

Nampaknya pada pertaruhan pusingan pertama ini, Mohd Isa yang menggunakan pendekatan tangkis dan serang sebagai strategi kempennya berjaya menangkis serangan lawan.

Bagi PAS pula, mereka sudah pasti tidak akan berdiam diri dan akan melancarkan serangan demi serangan terhadap BN sehinggalah tempoh pertarungan berakhir.

"Kita ada banyak isu, ada tempoh lapan hari berkempen maknanya kita akan keluarkan lapan isu... sehari satu isu kita akan keluarkan... banyak lagi 'peluru' yang kita ada," kata Pengarah Operasi Jentera pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Dr Zulkifli Ahmad.

Tiada ulasan: