Khamis, 22 Oktober 2009

Dr Lo' Lo' sihat, hadiri sidang Parlimen

Abdul Rahim Sabri


Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali kini lebih aktif menghadiri program parti dan menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat, termasuk menghadiri sesi parlimen sejak Isnin lalu.

Sabtu lalu - beliau yang menjalani pembedahan Ogos lalu di Institut Jantung Negara (IJN) - menghadiri tiga progam jamuan hari raya Aidilfitri sekitar Titiwangsa walaupun dalam keadaan lengannya berbalut dan dianduh.

Foto-foto beliau dalam keadaan ceria dan mesra bersama orang awam dimuatkan kembali dalam blognya Doc Pearl pada 19 Oktober lalu.

Pada hari tersebut, beliau juga menghadiri jamuan hari raya dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jelatek dan Perkasa anjuran penduduk setempat.

Dalam kedua-dua majlis itu, Dr Lo' Lo yang juga seorang doktor perubatan juga turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak.

Blognya itu juga memaparkan foto-foto beliau berinteraksi dan beramah mesra dengan penduduk setempat.

Sementara Khamis lalu, Dr Lo' Lo' yang juga ibu kepada empat orang anak itu menyampaikan sumbangan Deepavali dan duit raya kepada penduduk Indian Settlement, di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Tiga hari sebelum itu (Isnin) beliau telah menziarahi seorang mangsa kebakaran di sebuah Desa Pandan, dalam kawasan parlimen.

Beliau juga turut terlibat dalam kempen pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober lalu bersama-sama ahli parlimen PAS yang lain.

Berdasarkan foto dalam blognya, Dr Lo' Lo' berada di kawasan tersebut selama dua hari berturut bermula 6 Oktober lalu.

Sementera itu, pembantu khas kepada Dr Lo' Lo', Abu Hassan Othman ketika dihubungi Malaysiakini berkata, tahap kesihatan bosnya itu kini sihat.

Ditanya mengapa lengan ahli parlimen itu berbalut semasa menganjurkan jamuan aidilfitrinya Sabtu lalu, Abu Hassan berkata, Dr Lo' Lo' mungkin "tidak selesa" kesan pembedahan Ogos lalu.

Bagaimanapun, tambahnya, balutan itu telah ditanggalkan semalam

Tiada ulasan: