Isnin, 26 Oktober 2009

DPPN Pk: Buat laporan polis Ganesan tiada kuasa

Kenyataan Media


Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) cukup hairan dengan kenyataan Datuk G. Ganesan yang mendakwa beliau adalah ‘Speaker’ Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang sah dengan tidak memahami Perintah-Perintah Tetap DUN Perak itu sendiri tentang pemegang jawatan Speaker malah cuba membohongi rakyat Perak khasnya.

DPPN Pk meminta supaya Ganesan seorang yang dipertanggungjawabkan mencemar dan merosakkan imej DUN Perak mesti diambil tindakan segera oleh Polis kerana Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak yang dipengerusikan oleh V. Sivakumar telah menjatuhkan hukuman terhadap beliau. Dan Polis adalah bertanggungjawab melaksanakan keputusan tersebut apabila telah diterima oleh sidang DUN.

DPPN Pk kesal jika Polis hanya menerima laporan daripada Ganesan yang bukan melalui keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak terus mengambil tindakan adalah amat malang bagi DUN Perak jika perkara ini berlaku. Malah tindakan tersebut bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Tetap DUN Perak dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak itu sendiri.

Persoalan yang rakyat perlu tahu, bagi seorang Speaker yang akan mempengerusikan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak boleh memanggil mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didapati melanggar peraturan-peraturan berkaitan DUN akan dihadapkan ke jawatankuasa ini. Apa yang menghairankan kita kenapa Ganesan hanya membuat laporan Polis sebanyak 3 kali semata-mata. Kenapa beliau yang mendakwa sebagai seorang ‘Speaker’ yang sah tidak mengambil tindakan mengikut peruntukan yang ada.

Oleh yang demikian, DPPN Pk yang masih menunggu perkenan untuk mengadap Paduka Seri Sultan Perak akan juga memperjelaskan isu Speaker ini dan meminta supaya rakyat menilai sendiri kejadian yang telah berlaku semasa sidang DUN Perak pada 7 Mei yang lalu.


DR. RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Tiada ulasan: