Khamis, 22 Oktober 2009

Cuepacs, MTUC minta bonus 2 bulan

Oleh Syuhada Choo Abdullah


KUALA LUMPUR: Cuepacs dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) masing-masing memohon kerajaan memberi bonus dua bulan gaji kepada 1.6 juta kakitangan dan pesara perkhidmatan awam serta dan memperkenalkan dasar gaji minimum RM900 sebulan bagi semua sektor pekerjaan dalam Bajet 2010, yang akan dibentangkan esok.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata walaupun krisis ekonomi negara belum pulih sepenuhnya, permohonan bonus itu adalah wajar untuk menambah kuasa membeli, selain meningkatkan kebajikan kakitangan awam supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan, produktif dan cemerlang.

Malah, katanya, berdasarkan tinjauan peniaga turut mengharap dan tertunggu-tunggu kakitangan awam menikmati bayaran bonus kerana ia akan mendorong serta mengaktifkan lagi kegiatan jual beli dalam pasaran.

“Permohonan kadar bonus itu ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs Khas, 16 Oktober lalu, selepas mengadakan perjumpaan dengan Ketua Setiausaha Negara. Tidak dinafikan bayaran bonus dua bulan gaji kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan dan lebih 400,000 pesara perkhidmatan awam, membabitkan kos yang tinggi.

“Bagaimanapun, diharap kerajaan mempertimbangkan permohonan ini berdasarkan produktiviti dan prestasi kerja kakitangan awam yang semakin baik, di samping kesetiaan serta sokongan penuh mereka kepada kepemimpinan kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud, berkata penetapan gaji minimum RM900 itu akan memberi kesan besar kepada kebajikan rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah, berikutan masih ada pekerja memperoleh kadar upah tidak munasabah serendah RM350 atau RM400 sebulan, termasuk dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Selain itu, MTUC juga meminta kerajaan mendesak majikan sektor swasta memperkenalkan elaun kos sara hidup (Cola) untuk pekerja berpendapatan rendah, di samping menyediakan insentif lain seperti rebat bagi membantu golongan ini serta mengekalkan bantuan subsidi sedia ada.

“Walaupun mungkin berlaku pengurangan dalam Bajet 2010, ia diharap tidak membebankan atau memberi implikasi negatif kepada rakyat yang banyak menyumbang kepada kerajaan pada waktu susah dan senang,” katanya.

Tiada ulasan: