Selasa, 13 Oktober 2009

Cerminan muka sebenar UMNO - Rais


Rais Yatim (kiri) melihat buku UMNO: Akhir Sebuah Impian yang ditulis oleh Mohamed Rahmat pada majlis pelancaran buku tersebut di Kuala Lumpur, semalam.

BERNAMA

KUALA LUMPUR - Buku UMNO: Akhir Sebuah Impian' hasil karya bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Rahmat mencerminkan muka sebenar UMNO sejak zaman pemerintahan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman sehinggalah ke zaman pemerintahan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata dalam buku itu, Mohamed yang berpengalaman hampir 50 tahun dalam dunia politik menceritakan pengalamannya bersama tokoh politik seangkatannya yang banyak berhadapan dengan pergolakan dan naik turun perjuangan dalam UMNO sejak dahulu lagi.

"Beliau (Mohamed) juga membandingkan khidmatnya sebagai seorang bekas ahli Parlimen dengan ahli Parlimen atau ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) yang ada sekarang.

"Jadi daripada pengalaman beliau ini kita lihat UMNO telah melalui zaman demi zaman dan sudah sampai ke tahap di mana UMNO itu perlu membuat perkiraan semula ke arah yang lebih kuat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku tersebut bersama Mohamed di Hotel Equatorial di sini, hari ini.

Rais berkata, buku itu perlu dibaca dalam konteks perubahan dan anggota UMNO terutama generasi muda perlu mengambil iktibar daripada beberapa peristiwa yang dilalui oleh Mohamed ketika zaman perjuangannya.

Tiada ulasan: