Rabu, 21 Oktober 2009

Caruman KWSP kembali 11 peratus

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia menimbang permintaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya dikembalikan semula caruman 11 peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika ia kehendak majoriti pekerja.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pertimbangan akan diberikan apabila MTUC mengemukakan segera permintaan secara rasmi kepada kerajaan untuk diteliti.

Beliau berkata, pendirian kerajaan setakat ini jelas iaitu sebarang dasar yang boleh membawa kebaikan kepada pekerja akan dilaksanakan, tambahan pula ia membabitkan potongan gaji pekerja.

“Permintaan mesti datang daripada mereka (MTUC) dan saya tidak pasti sama ada cadangan sudah dibawa secara rasmi kepada kerajaan... apa yang diterima hanya pandangan media saja,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.

Beliau diminta mengulas cadangan MTUC kelmarin yang meminta kerajaan membenarkan 2.2 juta pekerja yang memilih potongan lapan peratus bagi caruman KWSP untuk kembali kepada 11 peratus berkuat kuasa serta merta.

Naib Presiden MTUC, A Balasubramaniam dilaporkan berkata caruman KWSP adalah simpanan untuk hari tua pekerja sektor swasta dan penting peratusan simpanan itu dikekalkan.

Berikutan krisis ekonomi, pada November lalu, kerajaan membenarkan pekerja memilih sama ada kekal dengan caruman 11 peratus atau mengurangkannya sebanyak tiga peratus kepada lapan peratus untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari tahun ini. Menurut KWSP, 2.2 juta atau 40 peratus daripada pekerja memilih mengurangkannya kepada lapan peratus.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, tujuan kerajaan membenarkan pekerja mencarum lapan peratus caruman KWSP adalah untuk membolehkan mereka mendapat lebih wang saku terutama ketika menghadapi masalah ekonomi sebelum ini.

Tiada ulasan: