Selasa, 27 Oktober 2009

Biarkan Umno tenggelam dengan tsunami perkaumannya

Oleh ZULKIFLI YAHAYA


Berlaku aliran songsang antara persepsi dominasi kaum dengan sokongan Melayu dan bukan Melayu terhadap Pakatan Rakyat ataupun BN. Pasca pilihanraya umum ke-12 dengan merujuk kepada senario di Selangor, Perak dan Pulau Pinang; kuasa politik Melayu dilihat terhakis apabila Pakatan berkuasa (berasaskan persepsi). Maka sokongan Melayu terhadap BN makin bertambah manakala sokongan bukan Melayu terhadap BN semakin berkurang.

Dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau, Pakatan berjaya meningkatkan majoriti meskipun kajian menunjukkan berlaku sedikit peralihan sokongan Melayu dari Pakatan ke BN. Peningkatan majoriti itu tentu berlaku kerana peratus peralihan undi bukan Melayu dari BN ke Pakatan lebih besar dari peralihan undi Melayu dari Pakatan ke BN. Pemilih bukan Melayu di Bukit Gantang adalah kira-kira 36%, manakala di Bukit Selambau hampir 50%.

Semakin kuat Umno bermain dengan isu perkauman, BN semakin hilang sokongan bukan Melayu. Tetapi penambahan sokongan Melayu tidak berbaloi dengan kehilangan sokongan bukan Melayu. Persoalan besar BN ialah mereka terpaksa menghadapi Pakatan di banyak kawasan di mana pengundi bukan Melayu menjadi faktor penentu. Tidak semua komposisi kaumnya macam Manek Urai.

Perhitungan seorang pengkaji politik Wong Chin Huat sangat menarik untuk diteliti. Menurutnya, berdasarkan 165 kerusi parlimen di Semenanjung menunjukkan, seandainya Pakatan memperolehi 40% undi Melayu dan 75% undi bukan Melayu, maka Pakatan akan memperolehi 103 kerusi, dan hanya memerlukan 9 kerusi daripada Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan kerajaan persekutuan (dengan 112 daripada 222 kerusi).

Seandainya Pakatan memperolehi 50% undi kaum India dan 75% undi kaum Cina, dalam keadaan mengekalkan undi Melayu pada paras 40%, maka Pakatan akan memperolehi 90 kerusi di Semenanjung. Jikalau undi kaum India jatuh kepada 40%, maka Pakatan hanya akan mendapat 80 kerusi, seperti apa yang berlaku pada PRU ke-12.

Pemerhatian Wong terhadap senario politik selepas PRU ke-12, termasuk beberapa PRK seperti Bukit Gantang, Manek Urai yang menyaksikan peralihan sokongan sebahagian masyarakat Melayu kepada BN, menyimpulkan bahawa "mustahil untuk Pakatan memperolehi lebih 50% sokongan Melayu dalam masa terdekat."

Maka, Wong mencadangkan agar Pakatan menggariskan matlamat yang lebih realistik, iaitu mengekalkan undi Melayu sekurang-kurangnya pada paras 40%, di samping melonjakkan graf sokongan masyarakat bukan Melayu kepada 75%, seandainya ingin mengambil alih kuasa kerajaan persekutuan pada PRU ke-13.

Berbalik kepada unjuran songsang yang saya sebutkan di awal tulisan ini, timbul persoalan mana lebih baik bagi Pakatan - antara membiarkan saja Umno menyemarakkan isu perkauman di kalangan masyarakat Melayu supaya bukan Melayu terus membenci BN dan bersama Pakatan, atau turut memberi reaksi terhadap isu-isu Melayu-Islam agar tampak di kalangan masyarakat Melayu bahawa Pakatan juga (melalui PAS atau Melayu KeADILan) turut menjadi jaguh pembela Melayu-Islam lantas dapat mengaut sokongan orang Melayu?

Implikasi yang timbul tentulah jika PAS atau Melayu KeADILan menangani beberapa isu melibatkan kepentingan Melayu-Islam secara terbuka, sebagai contohnya ialah cara diambil oleh Dato' Dr Hassan Ali dalam beberapa isu, maka tentu akan mencetuskan reaksi dari DAP.

Tindakbalas DAP akan menyebabkan sebahagian masyarakat dari semua kaum mengangggap bahawa Pakatan tidak serasi, tiada sefahaman dan bermasalah jika diberi mandat memerintah. Persepsi masyarakat bahawa BN lebih bersefahaman berbanding Pakatan tentulah lebih buruk akibatnya berbanding undi Melayu yang bakal diperolehi ekoran menjadi jaguh politik Melayu-Islam.

Apapun itu semua adalah perhitungan politik semata-mata. Idealisme perjuangan juga perlu diambilkira. Politik hanya alat untuk berkuasa dan menegakkan idealisme. Sewaktu PAS jadi pembangkang yang lemah dulu, Mohamad Sabu pernah berkata, PAS bukan parti pragmatis macam Umno. Umno akan buat apa saja dalam menarik sokongan rakyat untuk terus berkuasa.

"Misalnya kalau PAS nak guna cara mudah tarik sokongan, PAS boleh panggil artis wanita mai menari dan menyanyi atas pentas tapi PAS tak boleh buat sebab dasar kita Islam, ada halal haram. Biar kita tak menang pilihanraya tetapi Islam kita dapat pertahankan," tegasnya.

Ramai bersetuju bahawa pintu kemungkaran yang paling besar dalam negara ialah Umno. Untuk menghancurkan Umno, parti rasuah itu perlu disingkirkan dari persada kuasa kerajaan Pusat. Untuk singkirkan Umno perlu tumbangkan BN. Nak tumbangkan BN perlu sokongan bukan Melayu, di samping memperkasa sokongan Melayu. Separuh abad PAS berusaha memperkasa sokongan umat Islam, tapi majoriti mereka masih bersama BN. Tapi bukan Melayu pernah juga berpihak kepada PAS.

Umno berjaya menunjukkan 'bukti' bahawa jika Pakatan memerintah maka kuasa Melayu terhakis iaitu di Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Tetapi Pakatan, khususnya PAS, tidak pula dapat menjelaskan dengan baik kepada rakyat sehingga mereka faham bahawa punca kuasa Melayu 'terhakis' dalam Pakatan kerana orang Melayu tidak mahu memenangkan PAS sebanyak-banyaknya supaya suara Melayu dominan dalam kerajaan Pakatan.

Di samping terikat dengan khurafat bahawa hanya Umno yang layak memerintah sampai kiamat, sebahagian orang Melayu itu terkatup pintu hari lantaran banyak termakan rasuah yang dihulur Umno. Maka kerja PAS bertambah berat untuk mengecilkan golongan yang sesat seperti ini dalam masyarakat Melayu-Islam.

Tiada ulasan: