Ahad, 11 Oktober 2009

Bagan Pinang: Proses pengundian dicemari pergaduhan penyokong BN dan PAS, SPR kesal



KECOH
..Proses pengundian pilihan raya kecil DUN Bagan
Pinang kecoh apabila penyokong BN dan PAS saling bersorak
untuk merayu undi bagaimanapun kejadian tersebut bertukar
sebaliknya apabila penyokong kedua-dua parti bertindak
ganas dengan membaling botol dan kayu kepada penyokong
parti lawan. Dalam kejadian tersebut dua orang penyokong
yang dipercayai masing-masing daripada PAS dan BN
ditahan oleh pihak polis. Foto THE STAR Oleh: ART CHEN.




TAHAN
...Polis menahan seorang daripada dua penyokong
daripada parti yang bertanding. Mereka ditahan kerana
dipercayai menimbulkan kekecohan berhampiran pusat
mengundi di SK Telok Kemang di sini.Kejadian berlaku
apabila kedua-dua pihak membaling botol dan kayu kepada
pihak lawan.

PORT DICKSON : Proses pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang hari ini tercalar apabila berlakunya pergaduhan antara penyokong Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata beliau kesal dengan sikap penyokong-penyokong berkenaan hingga mencetuskan kekecohan.

"Saya kesal dengan apa yang berlaku, mereka (penyokong dan peraih undi) masih tidak faham dengan larangan yang dikeluarkan oleh SPR supaya tidak hadir pada hari pengundian.

"Kehadiran mereka hanya untuk membuat kacau, tapi bila kita larang mereka degil, bila kedua-dua pihak dah duduk bertentang mula lah pergaduhan macam apa yang berlaku..Saya kesal lah," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 pagi tadi, penyokong BN dan PAS masing-masing membaling botol dan kayu ke arah penyokong parti lawan.

Ekoran kejadian itu, dua orang penyokong masing-masing daripada PAS dan BN telah ditahan oleh pihak polis.

Menurut Abdul Aziz lagi, beliau berharap kumpulan penyokong berkenaan tidak mencetuskan kekecohan sehingga menggangu pengundi untuk keluar mengundi.

"Bagi SPR, kita harap pengundi tidak takut untuk keluar mengundi, pihak polis akan memastikan keadaan terus terkawal," katanya.

Tiada ulasan: