Isnin, 19 Oktober 2009

Bagan Pinang bukan petanda aras kemenangan BN: Mustafa

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA TERENGGANU – Bagan Pinang bukanlah petanda aras kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 kekal kerana pembangkang mempunyai rekod kemenangan yang lebih baik dalam beberapa pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, BN tidak boleh mendabik dada dengan kemenangan di Bagan Pinang sebaliknya melihat semula tujuh kemenangan pembangkang melalui Pakatan Rakyat (PR) dalam sembilan pilihan raya kecil.

“Rekod kita sebenarnya lebih baik daripada BN, selain dapat pertahan kawasan sendiri, kita turut merampas kawasan yang pernah dimenangi mereka dalam pilihan raya umum lalu di Parlimen Kuala Terengganu,” katanya ketika berucap di hadapan penyokong parti itu di Manir, malam kelmarin.

Turut hadir, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah mewakili Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib.

:Mengulas mengenai kekalahan di Bagan Pinang, Mustafa mengakui bukan mudah untuk menang di kawasan yang dikenali sebagai kubu kuat BN itu.

Katanya, faktor undi pos turut menjadi penyebab kekalahan Pas di Bagan Pinang apabila hanya 601 sahaja diperoleh pembangkang daripada lebih 5,000 pengundi pos di kawasan itu.

“Di DUN Seberang Takir, kita menang tetapi apabila ada undi pos, kita tidak menang. Mungkin undi pos bukan satu faktor (kekalahan) utama, ada faktor lain, kita akan cari,” katanya.

Tiada ulasan: