Ahad, 11 Oktober 2009

Bagan Pinang: BN mendahului dengan majoriti 4,747 undi

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PORT DICKSON: Barisan Nasional (BN) sedang mendahului kiraan undi bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dengan majoriti 4,747 undi.

Sehingga pukul 7.20 petang tadi, BN yang diwakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad memperolehi 6,761 undi manakala PAS yang diwakili Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkefly Mohamad Omar dengan 2,014 undi.

Jumlah undi itu adalah berdasarkan 15 daripada keseluruhan 19 peti undi yang telah diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini di pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, di sini.

Pengiraan undi bagi pilihan raya kecil tersebut bagaimanapun dihentikan seketika buat masa ini untuk memberi laluan kepada umat Islam untuk menunaikan fardhu Maghrib dan akan disambung semula pada pukul 8 malam nanti.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), awal bulan lalu.

Tiada ulasan: