Isnin, 19 Oktober 2009

Awie: Saya hanya pertahankan diri

BERNAMA


Penyanyi rock Ahmad Azhar Othman, atau lebih dikenali dengan panggilan Awie, semalam tampil ke balai polis Pulau Pinang untuk memberi keterangan berhubung satu kes pergaduhan yang membabitkan beliau bersama beberapa rakannya di sebuah pusat hiburan di Georgetown.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Ayub Yaakob berkata penyanyi dan pelakon berumur 41 tahun itu tampil untuk memberi keterangan di balai polis Jalan Petani di sini.

"Kami akan menyiasat kes ini mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, dengan mereka yang disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang semalam.

Katanya beliau berharap polis akan dapat menyelesaikan siasatan kes itu selepas keterangan Awie diambil.

Difahamkan polis merakamkan kenyataan Awie mulai pukul 1.15 petang sehingga 10 malam.

Dalam insiden tahun lepas seorang lelaki yang bekerja sendiri membuat aduan polis, mendakwa beliau diserang oleh sekumpulan lelaki di sebuah pusat hiburan di Jalan Penang.

Sementara itu Awie ketika ditemui di luar balai polis itu berkata beliau bersedia untuk bekerjasama dengan polis dalam siasatan kes itu, dan menurutnya tindakan beliau semasa kejadian itu adalah untuk mempertahankan diri.

"Saya percaya keadilan akan dapat ditegakkan, saya akan ke sini sekali lagi untuk memberi satu lagi kenyataan tidak lama lagi," katanya.

Tiada ulasan: