Ahad, 18 Oktober 2009

ATM bantu keluarga yang tinggal di kandang lembu

BERNAMA


BUTTERWORTH - Kesempitan hidup tiga beranak yang tinggal di kandang lembu berhampiran kawasan perindustrian Perai di sini, mendapat perhatian Sekretariat Pengaduan dan Kebajikan Rakyat (Sepakat) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sepakat dan Kor Perubatan dan Kor Kejuruteraan ATM semalam tampil menghulurkan sumbangan kepada Jusvinder Kaur, 41, abangnya Surjinder Singh, 51, dan ibu mereka, Balwant Kaur, 82, yang tinggal di kandang lembu itu sejak 10 tahun lepas.

Antara bantuan yang dihulurkan ialah pemeriksaan kesihatan ke atas Jusvinder yang menghidap penyakit otot kronik sejak tahun 1993, memperbaiki kediaman dan sumbangan keperluan harian.

Ketua Pegawai Operasi Sepakat, Azlina Mehtab Mohd Ishaq berkata, seorang doktor dari Kor Perubatan ATM telah melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas Jusvinder dan akan merujuk kepada Hospital Pulau Pinang mengenai keadaan Jusvinder.

“Kor Kejuruteraan ATM pula telah membuat penilaian terhadap kerosakan tempat kediaman keluarga ini dan akan datang lagi untuk memperbaiki tempat ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Walaupun mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun jumlah itu tidak mencukupi kerana keluarga itu terpaksa membelanjakan RM200 setiap bulan untuk membeli ubat untuk Jusvinder.

Surjinder pula menghidap penyakit hati yang kronik dan tidak berupaya untuk bekerja kuat.

Tiada ulasan: