Selasa, 27 Oktober 2009

Atasi segera masalah kekurangan doktor luar bandar

Hashim Abdullah


TEMERLOH : Kementerian Kesihatan diminta segera mengatasi masalah kekurangan doktor hospital kerajaan khususnya di luar bandar.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS memandang serius isu membabitkan keperluan asas rakyat untuk memperolehi kemudahan rawatan kesihatan terutamanya penduduk luar bandar dan mahu ianya diatasi dan diberi keutamaan segera.

Menurutnya lagi kegagalan kerajaan mengatasi isu kekurangan doktor dan kemudahan peralatan sokongan telah lama berlaku dan menuntut tindakan lebih profesional kementerian diambil.

"Kita terkejut masalah kekurangan doktor yang amat kritikan di Hospital Jengka apabila hanya menempatkan lima orang doktor bagi menampung keperluan 25 skim tanah rancangan felda di Jengka," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Pahang, di pejabatnya, semalam..

Beliau mengulas rungutan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Hospital Jengka, Idris Shah mengenai kekurangan doktor di Hospital Jengka yang tidak dapat menampung jumlah pesakit yang ramai.

Sasaran seorang doktor bagi 600 penduduk pada 2020 oleh Kementerian Kesihatan katanya adalah baik tetapi perlu kepada penyelesaian segera masalah yang dihadapi oleh pihak hospital sekarang ini.

"Kalau mengikut nisbah seorang doktor untuk berkhidmat bagi 600 penduduk sebelum 2020 yang disasarkan Kementerian Kesihatan dalam jawapan di Parlimen, baru-baru ini ternyata apa yang berlaku di Hospital luar Bandar seperti di Jengka sekarang amat mendukacitakan. "PAS menuntut kerajaan memandang serius perkara ini bagi menjaga kepentingan rakyat dan meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan sewajarnya," katanya. _

Tiada ulasan: