Khamis, 1 Oktober 2009

Anggota polis didakwa akibatkan cedera parah terhadap Kugan

MALAYSIA KINI


Sembilan bulan selepas kematian A Kugan, seorang anggota polis V Navindran didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pagi ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap tahanan tersebut yang ditemui mati dalam lokap polis Januari lalu.

Navindran tidak mengaku salah terhadap dua tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi memeras pengakuan bersalah dari Kugan. Dia didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan.

Dia juga menghadapi tuduhan alternatif mengikut Seksyen 330 kanun yang sama, dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi memeras pengakuan bersalah dari Kugan.

Navindran dituduh melakukan kesalahan tersebut pada jam 7 petang 16 Januari 2009 di bilik soal siaat pejabat D9, balai polis Taipan, USJ, Subang Jaya.

Bagi tuduhan pertama, dia berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan alternatif pula, Navindran berdepan dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

DPP Idham Abdul Ghani sebelum itu memohon supaya ikatjamin ditetapkan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Navindran, 28, diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai oleh Sallehuddin Saidin.

Yang lain ialah peguam Suraj Singh dan Rajpal Singh, manakala Gobind Singh Deo menjadi peguam pemerhati bagi keluarga Kugan.

Anggota keluarga Kugan, termasuk nenek, ibu serta bapa saudaranya hadir di mahkamah untuk melihat orang yang dituduh mencederakannya.

Sallehuddin memberitahu mahkamah bahawa pelanggannya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Dia merupakan seorang konstabel dan telah memberi kerjasama dalam siasatan pihak polis dan datang sendiri ke mahkamah hari ini.

Oleh itu, beliau memohon mahkamah mengenakan ikatjamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Idham pula memberitahu mahkamah bahawa tuduhan terhadap Navindran adalah serius dan menarik perhatian media.

Hakim Aslam Zainuddin kemudiannya menetapkan ikatjamin RM10,000 bagi kedua-dua tuduhan tersebut dan menetapkan kes itu disebut pada 5 November depan.

Tiada ulasan: