Khamis, 22 Oktober 2009

Aduan SPRM terhadap salahguna kereta SUK Pahang

Jimadie Shah Othman


Dewan Pemuda PAS (DPP) Pahang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyalahgunaan kenderaan milik kerajaan negeri itu, seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Aduan tersebut dibuat oleh Naib Ketua DPP Pahang, Abdullah Abdul Karim di pejabat SPRM Temerloh - yang mengendalikan aduan di bahagian Pahang Barat - kira-kira jam 4 petang tadi.

Menurut Abdullah, laporan itu dibuat kerana semakan pihaknya mendapati terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam penggunaan kenderaan kerajaan negeri.

"Kita takut terdapat penggunaan minyak digunakan bagi tujuan peribadi. Kita bukan hendak tuduh, tetapi ia meragukan," katanya yang juga ahli jawatankuasa pusat dewan itu.

Menurut laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan kelmarin, terdapat 24 kes penyalahgunaan kad inden bagi perolehan bahan api melibatkan lima kenderaan pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang.

Kesemua pengisian itu merekodkan pengisian sebanyak lima liter dengan jumlah kos bahan api sebanyak RM574.53. Malah, sebuah Proton Perdana direkodkan mengisi minyak bernilai lebih RM100 sebanyak dua kali dalam masa satu minit.

Jabatan Audit Negara turut mendapati perolehan bahan api yang melebihi tangki kenderaan, selain penggunaan kad inden terhadap kereta yang telah lama dilupuskan.

Selain itu, kos penyenggaraan kenderaan, antaranya penyenggaraan empat buah Proton Perdana V6 Executive di pejabat SUK antara 2004 dan 2008 lebih tinggi berbanding dengan kos perolehan kenderaan tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Abdullah berkata, mereka berharap SPRM dapat menyelesaikan kes itu dengan segera kerana segala bukti berkaitan telah pun ada.

"Mereka tidak perlu ambil masa lama. Kes ini bukannya susah sangat. Semua dokumen telah disediakan (Jabatan Audit Negara).

"Mereka cuma perlu semak dokuman di pejabat SUK dan pastikan siapakah dalang yang menyalahgunaan kenderaan kerajaan itu," katanya.

Tambahnya, jika dalam tempoh seminggu kes itu tidak dapat ditangani, DPP Pahang akan memanjangkan kes itu kepada pihak polis.

"Kita percaya ini di bawah bidang kuasa SPRM. Bagaimanapun, jika tidak ada sebarang respons, kita akan buat laporan polis pula," kata Abdullah.

Aduan Abdullah diterima seorang pegawai penguatkuasa di pejabat tersebut yang berjanji akan memajukan aduan tersebut kepada pihak atasan.

Tiada ulasan: