Jumaat, 23 Oktober 2009

"80 peratus kemungkinan Beng Hock dibunuh"

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Pakar Patologi dari Thailand, Dr Khunying Porntip Rojanasunan memberitahu inkues, terdapat 80 peratus kemungkinan dibunuh (homisid) berbanding 20 peratus kemungkinan bunuh diri dalam kes kematian Teoh Beng Hock.

Pada masa sama, Porntip, 54, berpendapat Beng Hock telah mengalami beberapa kecederaan sebelum jatuh dan mati di Tingkat 5, Bangunan Plaza Masalam, di sini, 16 Julai lalu.

Selain menjadi Pakar Patologi, Porntip yang berpengalaman selama 27 tahun dalam bidang sains forensik juga merupakan Pengarah Institut Pusat Sains Forensik, Kementerian kehakiman Thailand.

Beliau diminta oleh Kerajaan Selangor untuk memberi keterangan dalam inkues kematian setiausaha politik itu di Mahkamah Koroner di sini, semalam.

Pakar itu menyediakan laporannya berdasarkan gambar-gambar bedah siasat yang diberikan serta laporan autopsi oleh dua pakar patologi sebelum ini, Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberkar.

Berdasarkan laporannya Porntip berkata, kecederaan tusukan di bahagian dubur, kesan luka di paha dan lebam akibat cekikan di leher Beng Hock adalah tidak konsisten dengan keadaan jatuh dari tempat tinggi.

“Saya dapati kecederaan di bahagian dubur boleh disebabkan tusukan objek. Saya tidak pernah melihat kecederaan seperti ini dalam kes jatuh dari tempat tinggi,” kata Porntip.

Selain itu pakar tersebut memberitahu, kesan luka pada paha Beng Hock juga berkemungkinan akibat disebat.

Beliau berkata, hasil daripada gambar bedah siasat yang diperiksanya, terdapat kesan lebam di bahagian kanan leher dipanggil ‘handle bruise’ yang berkemungkinan disebabkan cekikan.

Menurut penyelidikannya, terdapat juga kecederaan pada tempurung kepala Beng Hock berkemungkinan disebabkan pukulan dengan objek tumpul yang tidak sejajar dengan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.

Ketika disoal peguam mewakili Kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar mengenai bagaimana Beng Hock mendarat jatuh, saksi itu berkata, Beng Hock berkemungkinan tidak sedar diri sewaktu jatuh.

Menurutnya ia berdasarkan tiada kecederaan reaksi pada badan, luka sebelum jatuh itu serta kecederaan teruk pada dada si mati akibat impak primari di lantai.

Pada prosiding petang pula, ketika menjawab soalan peguam kerajaan, Tan Hock Chuan mengenai laporannya itu, beliau berkata tidak menerima (dibekalkan) laporan-laporan tersebut selengkapnya termasuk laporan toksikologi dan DNA.

Ketika menjelaskan kepada Hock Chuan mengenai kesan lebam seperti dicekik pada leher Beng Hock, pakar itu berkata, amat sukar untuk beliau membayangkan sama ada cekikan tersebut daripada sebelah atau dua tangan kerana tidak melihat gambar lengkap.:

Menjawab soalan Hock Chuan seterusnya mengenai teori keadaan Beng Hock ketika jatuh, beliau tidak menolak kemungkinan Beng Hock masih hidup ketika jatuh berdasarkan material dan turut bersetuju dengan teori sebelum ini bahawa Beng Hock mendarat dengan kaki dan kemudian jatuh ke kanan.

Porntip yang berpengalaman menjalankan lebih 10,000 bedah siasat itu ketika ditanya oleh peguam mewakili keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo, menyatakan beliau bersedia melakukan bedah siasat kedua jika diberi peluang.

Katanya, bedah siasat masih boleh dibuat walaupun setelah tiga bulan kematian Beng Hock.

Menurutnya, bedah siasat kedua itu akan memberi rumusan yang lebih baik mengenai punca kematian Beng Hock.

Prosiding di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung 9 November depan.

Tiada ulasan: