Khamis, 1 Oktober 2009

4.7 juta penyimpan Tabung Haji dapat bonus 2.25 peratus

Oleh Nazura Ngah


KUALA LUMPUR: Sebanyak 4.7 juta penyimpan dalam Tabung Haji akan menikmati bonus awal sebanyak 2.25 peratus untuk separuh tahun pertama 2009 yang akan dikreditkan dalam akaun mereka pada Isnin depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika mengumumkannya semalam, berkata bonus awal separuh tahun yang membabitkan dana RM465 juta itu adalah pertama kali dibayar oleh Tabung Haji, sekali gus mencerminkan kekukuhan kewangan Tabung Haji.

“Kadar bonus itu bersamaan 4.5 peratus setahun. Pada 2007, Tabung Haji buat pertama kalinya menjadi institusi yang membuat pembayaran bonus khas kepada pendepositnya sebanyak dua peratus, di samping bonus tahunan lima peratus,” katanya ketika melancarkan logo baru Tabung Haji, di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom; Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.

Sehingga Julai lalu Tabung Haji mempunyai 5.09 juta pendeposit, namun 4.7 juta yang layak menerima bonus kali ini ialah pemegang akaun yang aktif sehingga 6 Jun lalu. Bakinya ialah pendeposit baru yang membuka akaun selepas tarikh itu.

Ganjaran bonus kepada pendeposit Tabung Haji bermula pada 1966 dengan kadar tiga peratus membabitkan 22,516 pendeposit dan tahun lalu agensi itu memberikan bonus lima peratus.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bermula dengan mengendalikan 5,000 jemaah haji pada 1963, Tabung Haji kini berupaya mengelola kira-kira 26,000 jemaah haji setahun dengan perkhidmatannya diakui oleh negara Islam lain sebagai antara yang terbaik di dunia.

“Seperkara yang membanggakan kita adalah berasaskan dana RM152,000 sumbangan kerajaan pada peringkat penubuhan, jumlah deposit Tabung Haji kini mencecah RM23 bilion.

“Kita sangat sukacita kerana kepentingan pendeposit dijaga dengan baik oleh Tabung Haji. Khidmat ini disesuaikan dengan `tagline’ organisasi yang mendahulukan pendeposit.

“Tabung haji juga melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menambah jumlah pendeposit. Menerusi Pelan 50, Tabung Haji berazam men-jadikan 50 peratus umat Islam negara ini sebagai pendeposit dan saya yakin ia dapat direalisasikan,” katanya.

Mengimbau sejarah, Perdana Menteri berkata, kerajaan membuat keputusan tepat 46 tahun lalu dengan menubuhkan sebuah organisasi khas bagi membantu jemaah Malaysia menabung untuk mengumpul modal yang mencukupi bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Beliau berkata, langkah itu didorong kecemerlangan Prof Diraja Ungku Aziz menghasilkan kertas kerja bertajuk Pilgrims Economy Improvement Plan pada 1959 yang membuka laluan penubuhan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji yang menjadi landasan asas penubuhan Tabung Haji.

Najib juga menyifatkan penubuhan Tabung Haji mempunyai nilai sentimental kepadanya dan keluarga kerana mesyuarat pertama Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji dipengerusikan sendiri oleh ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar ketika itu.

“Jelas sekali, penubuhan badan seperti Tabung Haji puluhan tahun lalu membawa faedah besar kepada penduduk Islam Malaysia di samping mewujudkan kumpulan wang yang boleh membantu pembangunan negara,” katanya.

Tiada ulasan: