Rabu, 14 Oktober 2009

41 Fasal dalam perlembagaan parti akan dipinda pada EGM Umno esok

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Sebanyak 41 fasal daripada tujuh perkara utama dalam perlembagaan parti akan dipinda pada Perhimpunan Agung Khas Umno yang akan diadakan esok.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, salah satu daripada tujuh pindaan tersebut melibatkan pemilihan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dam juga pemilihan ahli jawatankuasa peringkat bahagian.

"Pertamanya ia berhubung kait dengan pemilihan ahli MT dan juga AJK bahagian yang melibatkan mungkin 9 fasal.

"Kesembilan fasal ini kita akan cadangkan agar jumlah perwakilan yang sekarang ini iaitu 2,510 dapat diperluaskan kepada 146,500 dengan memberi peluang kepada semua ketua sayap parti untuk menjadi perwakilan secara automatik.

"Ini ada hubungkait dengan usaha kita untuk melihat Umno lebih demokratik, telus, inklusif dan memperluaskan peluang perwakilan yang menunjukkan pertambahan sebanyak 5000 peratus," katanya dalam sidang media di Menara Dato' Onn di sini hari ini.

Selain itu katanya pindaan tersebut juga melibatkan sistem pendaftaran bagi menggantikan sistem kuota.

Bagaimanapun katanya, MT Umno yang akan bermesyuarat malam ini akan mencadangkan syarat minimum bagi memastikan kualiti individu yang menawarkan diri untuk bertanding terjamin.

"Tapi percayalah ia merupakan syarat kelayakkan yang paling minimum.

"Pada hemat saya, mungkin kelayakan minimum pucuk pimpinan itu ialah berpengalaman memimpin di peringkat bahagian," katanya.

Kata Hishammuddin lagi, perkara ketiga yang akan dipinda ialah mengenai pelantikan wakil Pergerakan Wanita untuk mengisi kerusi jawatankuasa peringkat cawangan, bahagian dan MT.

Pindaan ini menjadikan jumlah anggota yang dilantik bertambah, iaitu bagi MT daripada 12 kepada 13 orang, anggota jawatankuasa peringkat bahagian daripada tujuh kepada lapan orang, dan jawatankuasa cawangan daripada lima kepada enam orang.

Perkara keempat ialah melibatkan pemilihan bagi peringkat bahagian dan pucuk pimpinan tertinggi, yang akan diadakan secara serentak, dan dengan itu sebuah Jawatankuasa Pemilihan Umno akan ditubuhkan untuk menyelia daripada segi logistik dan kos.

Manakala perkara kelima ialah berkaitan dengan penghapusan yuran tahunan keahlian yang akan digantikan dengan yuran seumur hidup.

Selain bagi perkara keenam yang akan dipinda ialah untuk memberi mandat kepada ketua-ketua Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat cawangan untuk mengesahkan keahlian baru dan perkara ketujuh ialah bagi mengiktiraf setiausaha bahagian sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno secara automatik.

Ditanya sama ada melalui pindaan perlembagaan Umno ini akan menyelesaikan semua masalah yang wujud dalam parti itu, Hishammuddin berkata perkara tersebut merupakan sesuatu yang mustahil.

"Adalah mustahil untuk selesaikan semua masalah dalam parti hanya dengan membuat pindaan terhadap tujuh perkara ini, namun ia penting untuk menangani isu-isu tertentu.

"Pindaan ini adalah sebahagian daripada proses transformasi parti, bagi membolehkan Umno lebih demokratik, telus dan inklusif."

"Walaupun hanya tujuh perkara yang memerlukan pindaan, namun kesannya begitu bersejarah dan bermakna kepada parti. Dan ini memerlukan sebulat suara daripada perwakilan ke Perhimpunan Agung Khas esok," katanya.

Tiada ulasan: