Isnin, 12 Oktober 2009

3 lelaki cetus provokasi ditahan

BERITA HARIAN ONLINE


PORT DICKSON: Kelancaran proses pembuangan undi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, semalam, tercemar dengan pergaduhan membabitkan penyokong kedua-dua parti bertanding.

Kekecohan yang berlaku hampir dengan pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kemang dan SK Panglima Adnan di sini, berpunca daripada provokasi segelintir penyokong sehingga mengakibatkan pergaduhan.

Dalam kejadian jam 11 pagi dan 3 petang, penyokong kedua-dua parti membaling batu, botol dan kayu ke arah lawan masing-masing.

Bagaimanapun, ketangkasan anggota polis berjaya meredakan keadaan dan menahan masing-masing seorang penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pas yang terbabit dalam pergaduhan itu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salim, berkata polis menahan tiga lelaki, penyokong pembangkang dan Barisan Nasional (BN) kerana dipercayai terbabit dalam kejadian membaling botol dan batu itu.

Beliau berkata, dua lelaki ditahan di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kemang, manakala seorang lagi di SK Panglima Adnan.

“Seorang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, manakala dua lagi disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam pergaduhan,” katanya ketika ditemui di pusat penjumlahan undi di Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini, semalam.

Osman juga berkata, 13 laporan polis diterima antara jam 8 pagi dan 5 petang semalam, dengan tujuh kertas siasatan dibuka.

“Dalam kejadian itu, tiga cedera, termasuk dua anggota polis. Bagaimanapun, mereka hanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Port Dickson,” katanya.

Beliau berkata, proses pengundian secara keseluruhannya berjalan lancar dan terkawal, tetapi berlaku provokasi antara kedua-dua penyokong menyebabkan ketegangan di pusat pengundian.

“Tindakan kita memanggil Polis Simpanan Persekutuan (FRU) bukan bermakna keadaan tidak dapat dikawal, tetapi bagi memastikan ketegangan yang berlaku dapat diredakan, terutama di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kemang,” katanya.

FRU juga menyembur air ke arah penyokong parti bagi mengelak keadaan daripada terus tegang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, kesal dengan sikap penyokong parti yang mencemari proses pembuangan undi dengan menimbulkan kekecohan.

“Saya berasa kesal dengan kekecohan yang berlaku, mereka masih tidak faham dengan larangan yang dikeluarkan SPR supaya tidak hadir pada hari mengundi,” katanya.

Tiada ulasan: