Rabu, 7 Oktober 2009

15 barangan terkawal Deepavali



UTUSAN ONLINE

PORT DICKSON - Sebanyak 15 jenis barangan akan dijadikan bahan kawalan sepanjang musim perayaan Deepavali berkuat kuasa mulai 12 hingga 21 Oktober ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut selari dengan gagasan 1Malaysia yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memastikan bukan sahaja pengguna beragama Islam dilindungi ketika Hari Raya, malah terhadap penganut Hindu sepanjang Deepavali.

Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan penetapan harga siling borong dan runcit bagi kesemua 15 barang kawalan itu.

''Antara barangan yang dikawal ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang dan daging kambing biri-biri import tanpa tulang.

''Ini termasuk, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, cili merah, tomato, bawang merah kecil (India), kelapa biji, kelapa parut dan ubi kentang import,'' kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan Penetapan Harga Maksimum Borong dan Runcit Harga Terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2009 di Balairaya Teluk Kemang Batu 7, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, peniaga di seluruh negara yang terlibat dengan penjualan barangan terkawal itu dikehendaki memiliki lesen khas.

''Semua peniaga yang terlibat perlu memohon lesen khas yang diberikan secara percuma di semua Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) yang akan dibuka di pasar-pasar utama berhampiran.

''Setakat ini, sebanyak 32,189 lesen telah dikeluarkan di seluruh negara,'' ujar beliau.

Tambah beliau, peniaga juga diminta mempamerkan lesen dan tanda harga khas yang disediakan selain tidak menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

Beliau turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang ingkar dengan pematuhan yang ditetapkan di bawah skim tersebut.

''Jika didapati ada peniaga yang melanggar peraturan itu, Mereka boleh dihadapkan ke mahkamah dan boleh dikenakan tindakan denda sebanyak RM15,000 atau dua tahun penjara yang termaktub di bawah Akta Kawalan Harga 1946.

''Kesalahan ini juga boleh dikompaun sehingga mencapai RM7,500 bagi orang perseorangan, manakala RM25,000 bagi pertubuhan atau syarikat,'' jelas Ismail.

Di samping itu, beliau turut memberitahu, pihak pengguna juga boleh membuat aduan sekiranya ada peniaga yang tidak mematuhi pematuhan tersebut.

''Orang ramai boleh menyalurkan aduan mereka melalui e-mel e-aduan@kpdnkk.gov.my atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 32255 selain menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800,'' ujar beliau.

Tiada ulasan: