Jumaat, 9 Oktober 2009

13 Mei berulang tanpa ISA?

Lim Hong Siang



"Kalau tak ada ISA ni, dalam tempoh lima tahun-lah, pergaduhan kaum akan berlakulah. Melayu, Cina, India akan... macam 13 Mei."

"Kalau tak ada ISA, memang susahlah... susah kerjanya sebab nak tangkap pun tak ada bukti. Kalau ada ISA bolehlah tangkap saja. Senang saja."

Demikianlah antara propaganda yang cuba ditusuk ke dalam minda tahanan ISA, dengan pengakuan oleh Special Branch (perisik, biasa dikenali sebagai SB) pada hari-hari akhir sebelum Mat Sah Mohd Satray dibebaskan.

"JI" tidak disebut semasa tangkapan

Tujuh tahun tahanan Mat Sah dimulakan dengan alasan tangkapan yang berbunyi "mengancam keselamatan negara", dilempar pula label "ahli Jemaah Islamiyyah (JI)" dan "Kumpulan Militan Malaysia (KMM)" semasa soal siasat, dan dilanjutkan tempoh tahanan kerana "masih berada dalam suasana global memerangi pengganas".

Pada malam 17 April 2002, kediaman Mat Sah dirempuh 12 orang polis. Mat Sah digari, sementara rumahnya digeladah. "Apabila saya tanyakan mana waran tangkapan, mereka kata 'tak payah waran' kerana mereka 'pegawai gred A'," kata Norlaila Othman (gambar kiri, kanan), isteri Mat Sah yang hanya dapat menatap bayang suaminya dibawa pergi sambil menahan sebak.

Apa yang berlaku tujuh tahun lalu masih segar dalam ingatan Norlaila. "Mereka tak sebut pun perkataan 'JI' atau 'KMM' (semasa tangkapan), cuma kata 'kami ada alasan-alasan untuk menahan anda di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana mengancam keselamatan negara'."

Keesokannya, media cetak arus perdana menyiarkan berita bahawa KMM cuba sabotaj untuk meletupkan pelabuhan Klang. Masyarakat diselubungi ketakutan terhadap serangan pengganas, berikutan tragedi serangan pengganas pada 11 September 2001.

Mat Sah yang berada dalam tahanan polis pula diselubungi kesejukan, disoal siasat dari jam 9 pagi hingga 5 petang, oleh tiga orang pegawai secara bergilir. Malah, Mat Sah yang menggigil di bawah penghawa dingin itu tidak dibenarkan ke tandas, hanya dibekalkan botol air mineral ketika membuang air.

"...tak bersedia nak terima kita"

Mat Sah, seorang technician yang berkhidmat dengan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) pada ketika itu, dikaitkan dengan Abu Bakar Bashir yang dituduh sebagai pemimpin JI. Mat Sah mengenali Abu Bakar Bashir kerana menghadiri khususnya, yang diwajibkan oleh DBP sendiri.

Maka, label terhadap Mat Sah (gambar kanan) kini bertukar dari KMM di media arus perdana, kepada JI. Tuduhan itu dipikul Mat Sah tanpa sokongan bukti. Apabila dua tahun pertama berakhir, harapan Mat Sah untuk dibebaskan berkecai kerana diberitahu 'Malaysia dah buat komitmen dengan ASEAN untuk combat (banteras) terrorism (aktiviti pengganas), lebih-lebih lagi Amerika Syarikat... '"

Malah, apabila peguam muda, Edmund Bon membuat permohonan Habeas Corpus di mahkamah untuk mencabar prosedur penahanan Mat Sah, ia berakhir dengan kekecewaan setelah hakim menolak permohonan tersebut dengan penghakiman yang berbunyi "masyarakat dunia kini sedang memerangi pengganas".

Tetapi, seandainya Mat Sah benar-benar pengganas, apa pula program "pemulihan" yang disediakan di kamunting?

"Pada saya, mereka (autoriti Kemta) tu tak bersedia nak terima kita. Nak buat macam mana tak tau...," cerita Mat Sah yang cuba mengimbas kembali apa yang berlaku dalam tahanan. Malah, autoriti Kemta sendiri bertanya kepada tahanan, apakah program yang mereka mahu untuk mengisi masa yang selebih itu?

Itulah puncanya kewujudan khusus membuat jeruk, soya dan sebagainya, sehingga menjadi pertikaian untuk mereka yang mempersoalkan sejauh manakah munasabahnya alasan penahanan?

Masa lapang Mat Sah tidak terisi. Buku hanya boleh dibaca sebelum malam menjelma kerana tiada lampu dalam bilik...

Demikianlah tujuh tahun tahanan yang dilalui oleh Mat Sah, tanpa bukti, tanpa keadilan; tanpa bulan, tanpa bintang. Selepas tujuh tahun, Mat Sah walaupun dikeluarkan dari Kemta, tetap berada dalam ISA...

*Temuramah bersama Mat Sah Mohd Satray dan Norlaila Othman ini dijalankan oleh Lim Hong Siang dan Chen Shaua Fui dari MerdekaReview.

Tiada ulasan: